Banjir: JKM Pahang tambah bekalan makanan
KUANTAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang menambah keperluan barangan makanan bagi menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir dan menyediakan perkhidmatan kaunseling untuk mangsa bencana itu.
Pengarahnya, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, penambahan itu diberikan kepada pangkalan hadapan yang sudah kehabisan bekalan susulan banjir teruk pertengahan Disember lalu.
“Barang-barang asas makanan tersebut dihantar oleh sebuah pasar raya ke Ulu Tembeling di Jerantut bagi menambah keperluan yang telah habis digunakan sepanjang banjir dari 17 hingga 28 Disember lalu.
“Bekalan tambahan ini sebagai persediaan menghadapi kemungkinan hujan lebat pada akhir Disember hingga awal bulan ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Sabtu.
Berdasarkan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, Pahang antara negeri yang berhadapan situasi hujan lebat berterusan dan berkemungkinan menghadapi gelombang kedua banjir.
Sementara itu dalam perkembangan mengenai situasi banjir di Pahang, Zulkhairi memaklumkan, seramai 102 kaunselor disediakan untuk membantu mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) dan mereka turut bergerak ke rumah mangsa.
"Perkhidmatan ini penting memandangkan ramai mangsa banjir masih trauma. Semua kaunselor ini juga bergerak ke rumah mangsa untuk perkhidmatan kaunseling tersebut kerana mungkin ada mangsa yang kali pertama menghadapi banjir dan atau mangsa-mangsa yang hilang segala-galanya akibat rumah mereka ditenggelami air banjir.
"Jadi, mereka dibantu dari segi kaunseling oleh psychological support team (PST) supaya sekurang-kurangnya mangsa dapat menerima keadaan dihadapi dengan positif.
“Mereka membantu mangsa-mangsa yang masih berada di PPS dan yang sudah pulang ke rumah. Secara keseluruhannya sudah hampir 50 orang mangsa telah dibantu setakat ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!