Tetap berjaga-jaga, walau sudah biasa bunyi air deras
KUALA KRAI - Bunyi deruan air deras yang turun dari arah bukit pada musim tengkujuh bukanlah sesuatu yang pelik bagi sebuah keluarga yang tinggal di tepi Sungai Pas, Kampung Lata Berangin, di sini.
Dengan jarak kediaman kurang 10 meter dari tebing sungai sudah menjadi kelaziman buat seorang bapa kepada empat cahaya mata itu untuk mendengar deruan arus deras tiap kali berdepan hujan lebat tanpa henti.
Muhammad Waqiwuddin Mohd Zain, 30, memberitahu, walaupun sudah biasa, namun dia tetap risau apabila mendengar dentuman kuat dari arah sungai apabila berlaku fenomena kepala air.
"Jika berlaku fenomena lebihan air, memang bunyi arus deras sangat kuat sampaikan kami terpaksa bercakap dengan nada lebih tinggi dalam rumah sebab bunyi deruan menenggelamkan suara kita.
"Kalau ikutkan memang saya sudah biasa dengar bunyi arus deras seperti itu, namun tetap kena berjaga-jaga sebab jarak rumah dengan tebing sungai memang tidak sampai 10 meter.
"Bahagian belakang rumah terlalu rapat dengan sungai. Waktu kemarau memang akan jauh ke bawah, tapi bila hujan lebat, air akan naik mendekati rumah,"katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, kediamannya yang terletak kira-kira lima minit dari pusat peranginan Lata Berangin dan sentiasa berdepan fenomena lebihan air akibat hujan lebat.
Beliau yang menyewa di rumah berkenaan sejak lima tahun lalu berkata, persediaan awal tetap dilakukan jika mereka sekeluarga terpaksa berpindah memandangkan sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam keadaan arus yang deras.
"Bila tengok dan dengar arus deras seperti itu, kita sudah boleh mengagak berlaku lebihan air dari arah atas bukit dan memang sungai itu menjadi laluan utama air berkenaan.
"Apa yang kami harapkan ialah arus air itu tidak hanyutkan balak, kayu dan sebagainya, jika tidak ia akan memusnahkan kediaman orang kampung yang terletak di kawasan rendah.
"Buat masa sekarang, air tidak pernah naik sehingga ke dalam rumah dan kami pun tidak berpindah ke mana-mana pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!