TT5 Maze Park diperkenal di Expo Dubai
IPOH - Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) memperkenalkan TT5 Maze Park, taman pagar sesat berbentuk hati terbesar negara di Expo Dubai 2020 di Dubai pada Sabtu.
Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Anuar Zainal Abidin berkata, pihaknya berasa bertuah berpeluang mempromosikan produk terbabit serta Kapal Korek Tanjung Tualang no 5 (TT5) itu di peringkat antarabangsa.
"MB Inc bukan sekadar memulihara kapal korek malah turut berasa bertanggungjawab untuk membangunkan bekas tapak perlombongan bijih timah ini dengan menghijaukan sekitarnya dengan penanaman pokok-pokok selain memperkenalkan tarikan terbaharu, TT5 Maze Park yang direka untuk tujuan pelancongan dan riadah seisi keluarga.
“TT5 Maze Park bukan sekadar taman pagar sesat berbentuk hati malah turut ada petting zoo, kafe ala 70-an yang mengetengahkan hidangan dim sum dan pau serta kopi putih Ipoh selain menjanjikan pengalaman dan pemandangan menarik di sekitarnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Anuar berkata, MB Inc komited mengunjurkan kenaikan pelancong domestik sehingga 60 peratus manakala pelancong antarabangsa sebanyak 40 peratus.
“Kita menjangkakan kehadiran pelancong daripada Asia Barat dan Asia termasuk China dan Singapura. Selain itu, MB Inc juga menjangkakan pelancong dari United Kingdom (UK) kerana kapal korek yang berada TT5 itu dibina di England sekitar 1930-an.
‘Ini akan menarik pelancong luar negara untuk melihat lebih dekat lagi ‘marvel engineering’ yang dibina ketika zaman kegemilangan bijih timah di Perak. Tidak lupa tarikan baharu TT5 Maze Park’’ katanya.
TT5 Maze Park terletak bersebelahan monumen ikonik perlombongan biji timah di Geopark Kebangsaan Lembah Kinta, kapal korek (TT5) yang menggabungkan lapan elemen unik membentuk bentuk hati menggunakan bahan-bahan sinonim dengan negeri Perak seperti batuan mineral serta barangan kitar semula dan atap rumbia hasil tangan Orang Asli.
MB Inc melalui anak syarikatnya, Amanjaya TT5 Sdn Bhd mempromosikan produk berkenaan di Expo Dubai 2020 yang merupakan acara terbesar dunia yang disertai oleh 192 negara.
Kapal Korek TT5 dan TT5 Maze Park turut mendapat perhatian Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukry ketika mengunjungi tapak pameran produk pelancongan Perak selepas merasmikan Pavilion Malaysia.
Turut mengiringi, Duta Besar Malaysia ke UAE, Mohd Tarid Sufian dan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd Hasril Abdul Hamid.
Hadir sama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Management Berhad, Nurmalis Musa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!