Aura Kim Swee, Baddrol penarik Khairul Fahmi sertai Sabah
PENJAGA gol baharu Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat mengakui kredibiliti dimiliki jurulatih The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee merupakan daya penarik utama menyebabkannya memilih menyertai kelab Kepulauan Borneo tersebut bagi saingan Liga-Malaysia (Liga-M).
Malah menurut pemain berusia 32 tahun itu juga mengakui kehadiran pemain tengah berpengalaman, Baddrol Bakhtiar turut mempengaruhinya menggalas cabaran bersama skuad The Rhinos tersebut.
“Salah satunya adalah faktor coach Ong sendiri, seperti kita tahu, saya pernah bersama dia selain saya tertarik dengan misi dan visi pasukan Sabah.
“Selain itu kebanyakan pemain yang menyertai Sabah tahun bagi musim ini adalah yang memang saya kenal sebab pernah bermain bersama semasa Sukan SEA ketika skuad di bawah kendalian coach Ong selain juga kehadiran seorang pemimpin pasukan, Baddrol Bakhtiar,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.
Terdahulu, Sabah dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman sosialnya mengesahkan, Khairul Fahmi menyertai Sabah bagi menghadapi saingan Liga-M musim ini.
Dalam pada itu, Khairul Fahmi berkata, statusnya sebagai penjaga gawang negara tidak akan menjamin tempatnya dalam kesebelasan utama Sabah memandangkan terdapat beberapa lagi penjaga gol yang hebat dalam skuad tersebut.
Sebaliknya dia bertekad akan berusaha bersungguh-sungguh untuk merebut tempat sebagai penjaga gawang nombor satu skuad The Rhinos.
“Saingan bagi posisi itu agak hebat kerana dalam pasukan terdapat juga beberapa penjaga gol yang hebat seperti Damien Lim dan seorang penjaga gol muda Sabah.
“Jadi saya rasa tiada jaminan untuk saya berada dalam kesebelasan utama. Justeru saya kena fight tempat tersebut dan kena tunjuk yang terbaik dalam setiap sesi latihan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!