Atlet Para Sukma cemerlang SPM

Aida menunjukkan keputusan cemerlang diperolehinya sambil ditemani Ahmad Fauzi dan isterinya, Faridah Taib.
Aida menunjukkan keputusan cemerlang diperolehinya sambil ditemani Ahmad Fauzi dan isterinya, Faridah Taib.
A
A
A

KUBANG PASU - Kecacatan fizikal dialami semenjak dilahirkan hingga menyukarkan pergerakan tidak sedikit pun mematahkan semangat Aida Solehah Ahmad Fauzi,18, untuk memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018.

Anak bongsu dari tiga beradik itu yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Bahiyah membuktikan keadaan dirinya bukanlah halangan apabila mendapat kesemua A dalam lapan matapelajaran didudukinya.

Aida berkata, dia menerima kekurangan diri dan sentiasa berfikiran positif walaupun mengidap penyakit 'arthrogryposis multiplex congenita' yang menyebabkan sendi dan ototnya menjadi kaku.

"Alhamdulillah, penat lelah saya membuahkan hasil apabila meraih keputusan cemerlang berkat ulang kaji dengan membuat latihan diberikan guru dan diperolehi dari internet, serta doa keluarga," katanya.

Terdahulu, Aida yang merupakan antara pelajar cemerlang kategori calon istimewa SPM ditemui selepas Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2018 di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, di sini, hari ini.

Aida berkata, dia kurang membaca buku, sebaliknya lebih suka menjawab soalan berulang kali sehingga mendapat markah penuh, selain akan mengikuti kelas tambahan diadakan.

Lebih menakjubkan, Aida yang merupakan atlet Para Sukan Malaysia (Para Sukma) Kedah membuktikan dia mampu meraih keputusan cemerlang walaupun aktif dalam bidang sukan melalui sukan renang.

Katanya, dia masih sempat menyertai acara renang gaya bebas dan memenangi pingat gangsa dalam Para Sukma ke-19 di Perak tahun lepas dalam keadaan masih berbaki tiga subjek belum diduduki.

Artikel Berkaitan:

"Saya minat bidang undang-undang dan ingin menjadi seorang peguam supaya dapat terus memperjuangkan keadilan," katanya.

Sementara itu, bapanya, Ahmad Fauzi Mohamad, 63, yang merupakan pesara guru di Kolej Sultan Abdul Hamid berkata, anaknya mengidap penyakit itu sejak lahir.

"Jadi, dia sertai sesi terapi untuk latih otot dan sendi melalui aktiviti renang sejak berusia lima tahun. Bakatnya dilihat seorang individu yang cadangkan Aida sertai sukan itu," katanya.

Katanya, Aida punya impian mewakili negara bagi menghadiahkan emas kepada skuad para kebangsaan, malah akan menyertai satu lagi kejohanan renang di Pahang pada bulan ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!