Jemaah reda tiga kali tangguh umrah

Salmahanim bersama suami dan dua lagi ahli keluarga lain sepatutnya berangkat ke Tanah Suci pada 13 Januari depan, namun terpaksa akur apabila hasrat untuk tunaikan umrah sekali lagi tertunda. - Gambar hiasan
Salmahanim bersama suami dan dua lagi ahli keluarga lain sepatutnya berangkat ke Tanah Suci pada 13 Januari depan, namun terpaksa akur apabila hasrat untuk tunaikan umrah sekali lagi tertunda. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - “Sudah tiga kali jadual umrah saya terpaksa ditangguhkan disebabkan penularan Covid-19. Saya akui perasaan sedih itu ada, tapi saya reda,” demikian kata Salmahanim Ibrahim, 45.

Menurut Salmahanim, dia bersama suami dan dua lagi ahli keluarga lain sepatutnya berangkat ke Tanah Suci pada 13 Januari depan, namun terpaksa akur apabila hasrat untuk menunaikan umrah sekali lagi tertunda.

“Mengikut jadual asal, saya sepatutnya menunaikan umrah pada Mac tahun lalu tetapi disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka perjalanan ditangguhkan. Selepas itu, kami dijadualkan ke Tanah Suci pada 6 Januari ini tetapi disebabkan tiada penerbangan pada tarikh itu, maka ia dilewatkan kepada 13 Januari.

“Tetapi hari ini sekali lagi, hasrat untuk menunaikan umrah tidak kesampaian apabila kerajaan mengumumkan perjalanan umrah ditangguhkan sementara mulai 8 Januari.

Salmahanim
Salmahanim

“Perasaan sedih itu memanglah ada sebab kita tidak jangka. Tapi kami tetap reda kerana mungkin ada hikmah ALLAH SWT hendak sekat kita (supaya tidak) boleh pergi lagi, lagipun kesihatan lebih penting buat masa sekarang,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai buku sekolah di Semenyih, Selangor.

Bercerita lanjut, Salmahanim berkata, meskipun diuji sebanyak tiga kali, hasrat dan keinginannya untuk menjejak kaki ke Tanah Suci tidak pernah terhenti.

Malah katanya, dia dan ahli keluarga lain tidak berhasrat untuk menuntut semula wang yang telah dibayar kepada agensi umrah, sebaliknya tetap sabar menunggu tarikh baharu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!