Tampin paling teruk terjejas banjir

Pemandangan udara menunjukkan kawasan perumahan di Taman Pinggiran Sungai Kelamah ditenggelami banjir ekoran hujan lebat - Foto Bernama
Pemandangan udara menunjukkan kawasan perumahan di Taman Pinggiran Sungai Kelamah ditenggelami banjir ekoran hujan lebat - Foto Bernama
A
A
A

TAMPIN- Angka mangsa banjir di Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan mendadak kepada 1,666 mangsa setakat jam 8 pagi ini, yang ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri.

Tujuh daripada jumlah PPS berkenaan dibuka di Tampin, yang merupakan daerah paling teruk terjejas dalam bencana banjir kali ini.

Perkembangan itu dimaklumkan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan Leftenan Kolonel (PA) Mohd Syukri Madnor kepada Astro AWANI pagi ini.

“Jika pada petang semalam hanya 239 mangsa dipindahkan ke 10 PPS, sehingga pagi ini, 1,666 membabitkan 413 keluarga telah diselamatkan ke PPS berhampiran, selain berlaku peningkatan paras air sungai.

“Buat masa ini PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sg Kelemah Gemas merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 786 mangsa, diikuti PPS SK Agama Arab Jelai 4, yang juga di daerah Tampin ini, dengan seramai 266 mangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Syukri berkata, lima PPS lain di daerah Tampin ialah di SK Keru, Surau Kampung Gedok, Dewan Semarak Air Kuning, SK Kampung Londah Gemas, Dewan Besar Gemas dan Dewan Hala Cara Gemas.

Paras air di Sungai Gemencheh juga melepasi paras bahaya 39.9 meter dengan bacaan semasa 39.76 meter.

Selain itu, terdapat juga insiden tanah runtuh di kawasan Kampung Jeram dan kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan selain laluan utama Tampin menghala ke Pekan Gemas berhampiran Felda Sungai Kelamah juga ditutup.

Artikel Berkaitan:

Katanya, daerah lain yang turut terjejas ialah daerah Jelebu, Jempol dan Kuala Pilah.

Tinjauan Astro Awani di sekitar daerah Tampin mendapati meskipun paras air di beberapa kawasan kediaman sudahpun surut, namun hujan lebat masih berterusan sejak malam tadi. -Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!