Banjir di Kemaman pulih sepenuhnya
KUALA TERENGGANU – Banjir di Kemaman pulih sepenuhnya apabila Surau Kampung Ban Ho yang merupakan pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di daerah itu ditutup secara rasmi pada jam 8 pagi Ahad.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, sehingga jam 10 pagi, Dungun menjadi daerah tunggal yang terjejas banjir dengan 137 mangsa masih ditempatkan di dua PPS.
“Daripada jumlah itu, seramai 69 mangsa daripada 22 keluarga berada di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja manakala 68 mangsa lagi ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Shukor.
“Keadaan cuaca sekarang adalah mendung, berangin dan hujan renyai di satu atau dua tempat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sementara itu, publicinfobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan dua stesen utama sungai di Terengganu iaitu di Besut dan Kemaman menunjukkan bacaan melepasi paras amaran.
Dua sungai tersebut adalah Sungai Besut di Jambatan Keruak merekodkan bacaan 34.39 meter (amaran 34 meter) dan Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman pula 3.73 meter (amaran 3.50 meter).
Selain itu, lapan stesen lain di Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Dungun pula mencatatkan bacaan melepasi paras waspada.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!