Pelajar istimewa cemerlang SPM
IPOH – Dua pelajar 'istimewa' berjaya membuktikan bahawa kecacatan bukanlah halangan utama untuk meraih kejayaan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018.
Bagi pelajar Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Al Falah, Parit Tok Ngah Parit Buntar, Noor Asyikin Huda Mustafa 18, kecacatan mata kirinya tidak pernah melemahkan azam serta semangatnya untuk mencatat keputusan cemerlang pada SPM kali ini.
Malah menurut anak kedua daripada tiga beradik itu menjadikan kekurangan dirinya itu sebagai pembakar semangat untuk menggandakan usaha bagi mengharungi SPM.
“Ada kalanya saya rasa patah semangat kerana rakan-rakan lain yang normal boleh berjaya. Mereka sempurna, tidak macam saya.
“Jika rakan-rakan lain boleh faham dengan mengulang kaji pelajaran selama tiga jam, tetapi saya kena berusaha lebih sikit.
“Tetapi kerana saya mahu banggakan ibu bapa saya, maka saya terus berusaha gigih dalam SPM ini dan alhamdulillah, saya berjaya,” katanya yang juga salah seorang pelajar terbaik kategori calon istimewa SPM 2018 di Perak itu.
Menurut bapanya Mustafa Hanafiah 52, kejayaan anaknya itu nyata membanggakan mereka sekeluarga.
Mustafa berkata, pihaknya juga akan terus menyokong sekiranya Noor Asyikin Huda mahu melanjutkan pengajiannya selepas ini dan mencapai cita-citanya untuk menjadi peguam satu hari nanti.
“Sebagai bapa, sudah semestinya saya bangga dengan apa yang dicapai oleh anak perempuan saya ini. Insya-ALLAH, saya juga akan terus menyokongnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi nanti,” katanya.
Dalam pada itu bagi pelajar Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Ehyak Al-Diniah Islamiah Kampung Gajah, Muhammad Izhan Haikal Zaman Huri 20 berkata, dirinya memang tidak pernah menyangka akan mendapat keputusan cemerlang pada SPM 2018.
Justeru katanya, dia telah berjaya membuktikan bahawa kecacatan yang dimilikinya bukanlah kekangan untuk mencatatkan kecemerlangan pada SPM.
“Alhamdulillah, pertamanya saya rasa gembira kerana tidak menyangka memperolehi keputusan yang baik seperti ini.
“Memang nampak mustahil, orang macam saya berjaya, tetapi saya buktikan kecacatan bukan penghalang untuk jadikan seseorang itu berjaya,” katanya anak bongsu daripada lima beradik itu.
Sementara itu Muhammad Izhan berkata, menjelang SPM dirinya hanya mengamalkan kaedah pembelajaran seperti biasa.
Katanya, dia juga tidak mengamalkan kaedah pembelajaran yang menyusahkan selain membahagikan masa dengan sebaik-baiknya.
“Cara belajar saya macam orang lain juga, tetapi kalau nampak susah saya tak ikut, saya perlahankan. Saya belajar cara yang mudah. Tak payah berjam-jam, cuma perlu sejam dua. Yang penting kita kena jaga kesihatan, terutamanya ketika dah dekat nak periksa.
“Selepas ini saya merancang untuk melanjutkan pengajian saya dalam bidang kemahiran macam di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), tetapi sebelum itu saya nak ambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dulu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!