Bot karam: Dua beradik ditemui lemas, kakak masih hilang

Pasukan bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat tiga beradik dikhuatiri lemas di perairan Kampung Batu Payung, Tawau.
Pasukan bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat tiga beradik dikhuatiri lemas di perairan Kampung Batu Payung, Tawau.
A
A
A

TAWAU - Dua daripada tiga beradik yang menjadi mangsa bot karam di perairan Batu Payung di sini, ditemui lemas oleh penduduk kampung pada awal pagi Ahad.

Mayat, Jaidi Muhaimin, 5, ditemui terdampar di pesisir pantai pada jam 6.30 pagi, manakala abangnya, Saiful, 15, ditemui terapung di perairan Tinagat pada jam 8.58 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga beradik dimulakan kira-kira jam 6.30 pagi.

"Dua mangsa sudah dijumpai pagi tadi dalam keadaan terapung dan seorang lagi di pesisir pantai. Kedua-dua mayat dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

"Seorang lagi mangsa dikenali Rahena, 20, masih belum ditemui setakat ini dan operasi mencari diteruskan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Julius berkata, operasi SAR mangsa melibatkan lima anggota dari BBP Tawau serta dibantu pelbagai agensi penyelamat dan penduduk kampung.

"Operasi mencari mangsa masih dilakukan dengan bantuan pelbagai pihak membabitkan 30 anggota termasuk daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan penduduk kampung.

"Jumlah keseluruhan aset untuk mencari mangsa adalah sebanyak 24 bot termasuk empat dari agensi pasukan penyelamat, manakala 20 bot lagi daripada penduduk kampung sendiri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan berlaku kejadian bot karam yang dinaiki sembilan individu ketika dalam perjalanan berpatah balik dari Batu 4 Kampung Rawa-Rawa ke Kampung Batu Payung, di sini.

Dalam kejadian itu, enam mangsa berjaya diselamatkan penduduk kampung dan tiga beradik dilaporkan hilang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!