Lukaku tiada dalam senarai Chelsea
PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel sedang mempertimbangkan untuk menggugurkan Romelu Lukaku daripada skuad The Blues menjelang aksi berdepan Liverpool di Stamford Bridge, pada awal pagi Isnin.
Menurut Tuchel, tindakan itu dibuat susulan kenyataan bintang Belgium itu yang membuat kenyataan kontroversi termasuk mengkritik corak taktikal yang diterapkan Tuchel sejak tiba ke Stamford Bridge.
“Saya memang tidak gembira dengan situasi seperti ini kerana bagi saya, ia juga bukan sesuatu yang semula jadi.
“Namun, sebagai ketua jurulatih, saya berhak menentukan sistem permainan pasukan dan saya perlu terus bekerja keras dan profesional dalam hal tersebut.
“Cuma, saya memang tidak gembira atau berpuas hati dengan situasi semasa,” katanya.
Jumaat lalu, Lukaku dilaporkan membuat kenyataan bahawa dia tidak berpuas hati dengan keadaan di Chelsea.
Kenyataan ini telah menimbulkan kemarahan Tuchel hingga menyebabkannya membuat keputusan untuk tidak menyenaraikan langsung Lukaku dalam kesebelasan The Blues bagi melayan kunjungan Liverpool, di Stamford Bridge, pada awal pagi Isnin.
Mengulas lanjut, Tuchel berkata, dengan ketiadaan Lukaku, Kai Harvertz dilihat sebagai calon bersesuaian bagi menggalas tunggal ditinggalkan penyerang berkenaan.
Malah, Tuchel turut membayangkan untuk menurunkan Christian Pulisic, namun pemain berkenaan juga dilihat bergelut untuk mencapai tahap prestasi terbaiknya dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.
“Kita juga sedang melihat perkembangan Timo Werner yang sedang berjuang untuk melawan jangkitan Covid-19.
“Apa pun, kita akan cuba menurunkan kesebelasan terbaik bagi berdepan Liverpool yang sudah pasti mahu meraih mata pada perlawanan kali ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!