Pasca banjir: NGO dari Terengganu bantu penduduk Inderapura

NGO Petaka memperuntukkan RM50,000 bagi membeli pelbagai barangan keperluan termasuk perkakas elektrik untuk diagihkan kepada mangsa banjir di taman perumahan Inderapura di sini pada Ahad.
NGO Petaka memperuntukkan RM50,000 bagi membeli pelbagai barangan keperluan termasuk perkakas elektrik untuk diagihkan kepada mangsa banjir di taman perumahan Inderapura di sini pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Prihatin dengan nasib penduduk di taman perumahan Inderapura selepas rumah mereka ditenggelami air, badan bukan kerajaan (NGO) dari Terengganu menggerakkan jentera serta ahli sukarelawan dalam misi bantuan pasca banjir.

Pengasas dan Presiden Pertubuhan Ehwal Kebajikan Tanah Air Malaysia (Pekata), Datuk Khairul Faiz Anuar berkata, bantuan disalurkan di kawasan taman perumahan itu berpandukan maklumat yang dikongsikan kenalan dan saudara-mara yang menetap di sekitar daerah ini.

Menurutnya, kira-kira 50 ahli gabungan NGO tersebut berjaya mengumpulkan pelbagai barangan keperluan asas termasuk perkakas elektrik untuk diagihkan kepada penduduk taman berkenaan.

"Setiap ahli gabungan Pekata berjaya menyediakan barangan diperlukan penduduk membabitkan peruntukan lebih RM50,000 bagi misi fasa pertama.

"Semua hasil sumbangan ahli gabungan ini akan diagihkan kepada penduduk dan saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam misi kali ini.

"Kita cuba berikan bantuan kepada seberapa ramai penduduk terjejas banjir di Kuantan dan sebagai permulaan, kita tumpukan dulu di sini sebelum misi fasa seterusnya," katanya ketika ditemui di taman perumahan Inderapura di sini pada Ahad.

Khairul Faiz berkata, pihaknya turut menyumbang sejadah, bantal dan sayur-sayuran kepada penduduk taman berkenaan.

Sementara itu, wakil PTAFirst, Mohd Haniff Anuar berkata, misi bantuan di Taman Inderapura adalah lokasi kedua selepas mereka mengagihkan barangan elektrik kepada penduduk di Mentakab, Temerloh pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sumbangan ini untuk meringankan bebanan mereka yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini.

"Saya sangat berterima kasih kepada Datuk Khairul yang sudi menjemput kami untuk bersama dalam misi di Kuantan," katanya bersedia untuk turut serta dalam misi fasa dua sekiranya keadaan banjir di Pantai Timur berterusan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!