Sukarelawan periksa suis, soket rumah mangsa banjir secara percuma

Seorang daripada sukarelawan yang melakukan pemeriksaan suis serta soket dirumah mangsa banjir secara percuma. - Foto Bernama
Seorang daripada sukarelawan yang melakukan pemeriksaan suis serta soket dirumah mangsa banjir secara percuma. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - “Periksa suis utama atau soket, pastikan tidak basah atau ada lumpur sebelum menghidupkan peralatan elektrik”. Itu antara pesanan penting yang sering diingatkan oleh sukarelawan berpengalaman dalam bidang kejuruteraan elektrik, Syed Mohd Aizuddin Tuan Sembak kepada mangsa banjir.

Tenaga pengajar jurusan Pendawaian Elektrik di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Tangkak, Johor itu berkata, papan pemutus litar bocor ke bumi (ELCB) dalam suis utama yang masih basah atau berlumpur boleh menyebabkan renjatan elektrik.

“Kalau dalam keadaan basah, jangan ‘on’ (hidupkan suis) lagi.

Kalau plag atau soket masih basah tapi kita terus ‘on’ suis, boleh berlaku renjatan elektrik dan kita risau peralatan elektrik rosak dan pengguna terdedah kepada bahaya.

“Sebab itu saya bersama rakan-rakan lain turun ke beberapa lokasi dilanda banjir untuk periksa suis utama dan soket di setiap rumah mangsa banjir secara percuma.

Kami hanya memerlukan waktu minimum dua minit bagi memeriksa soket dan lima minit untuk ELCB,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, lebih 600 tenaga mahir kejuruteraan elektrik di seluruh negara bergabung di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Komuniti Teknikal Islam Malaysia (Komtech) telah memberikan perkhidmatan pemeriksaan pendawaian elektrik di kawasan kediaman yang terjejas akibat banjir.

Sejak banjir mulai surut, pasukan yang dikenali sebagai SBP (Skuad Baik Pulih) telah bergerak ke Sepang, Shah Alam, Hulu Langat di Selangor serta Bentong, Temerloh dan Karak di Pahang.

Artikel Berkaitan:

“Misi pascabanjir ini merupakan program pertama kami yang semestinya menjanjikan pengalaman baharu,” katanya yang berpengalaman selama 12 tahun dalam bidang berkenaan.

Sementara itu, tenaga pengajar Politeknik Melaka, Ahmad Fauzi, 43, berkata, pengalaman ini memberi pendedahan sebenar mengenai kaedah pendawaian elektrik yang sebelum ini hanya diajar di dalam kelas.

“Saya mengajar Kejuruteraan Elektrik sejak 2004. Boleh kata ini pengalaman ‘real time’ melihat sendiri keadaan suis utama dan soket yang ditenggelami banjir.

Bila banjir surut, ada lumpur kering di dalam bahagian tersebut. Kalau dalam kelas, tidak ada pengalaman ini,” ujarnya.

Juruelektrik, Mohd Sofian Simat, 40, berkata, beliau terpanggil untuk menyertai program sukarelawan tersebut bagi meringankan beban mangsa banjir berbekalkan ilmu dalam bidang Elektrik Domestik yang dipelajarinya di Giat MARA, Jelebu, Negeri Sembilan.

“Saya harap ilmu yang ada ini diberkati Allah dan dimanfaatkan sebaik mungkin,” ujarnya.

Pelajar tahun akhir jurusan Kejuruteraan Elektrik Kuasa Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Mohamad Anwar Irham Yosri, 25, pula menyifatkan inisiatif Komtech sebagai pendedahan sebenar kepada pelajar sepertinya.

“Saya pernah menjalani latihan industri di sebuah hotel di Putrajaya.

Namun pengalaman sebagai sukarelawan ini menguji kemahiran saya membaiki pendawaian elektrik pascabanjir sebab ia berbeza dengan teori,” katanya.

Senada dengan Mohamad Anwar, Mohamad Afzai Azram, 17, seorang pelajar Kolej Vokasional Tengku Ampuan Afzan, Bentong berkata, perkhidmatan ini memberi peluang kepadanya untuk menimba pengetahuan baharu.

“Sukarelawan lain banyak memberi tunjuk ajar kepada saya memandangkan saya antara sukarelawan paling muda,” kata pelajar jurusan Kejuruteraan Teknologi Elektrik itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!