Sabah FC janjikan saingan hebat musim ini
KOTA KINABALU- Sabah FC menjanjikan akan memberikan saingan sengit kepada semua pasukan gergasi dalam Liga Malaysia 2022 musim ini.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata bagaimanapun beliau tidak akan meletakkan sebarang sasaran besar tetapi yakin akan kemampuan pasukannya bersaing dengan pasukan ternama termasuk Johor Darul Ta'zim (JDT), Terengganu FC, Selangor FC, Kedah Darul Aman (KDA FC) serta pasukan-pasukan lain.
Katanya langkah tidak meletakkan sebarang sasaran dilihat tidak akan memberikan tekanan kepada para pemainnya tetapi percaya mereka mampu melaksanakan tugasan yang diamanahkan dengan baik.
"Saya percaya mereka tahu apa yang mereka boleh lakukan dan ingin lakukan...Paling penting adalah kita sentiasa konsisten untuk mencapai kemenangan tidak kira apa juga perlawanan dihadapi pada musim ini.
"Setiap pasukan pastinya memerlukan para pemain yang berpengalaman serta pemain muda. Ini adalah strategi jangka masa panjang skuad The Rhinos.
"Kita boleh ketengahkan mereka pada bila-bila masa. Kita sudah ada beberapa pemain berpengalaman termasuk Apek; Baddrol; Rizal; Rawilson; Saddil serta pemain import lain. Ini sudah pasti akan memberi satu keyakinan yang tinggi kepada Sabah FC," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di Kota Kinabalu hari ini.
Kim Swee berkata dalam tempoh sama juga Sabah FC mempunyai perancangan rapi untuk mencungkil bakat pemain muda tempatan untuk bersama-sama bersaing sekali gus mempelajari ilmu daripada pemain-pemain berpengalaman yang sedia ada dalam pasukan.
"Apa yang boleh kita lakukan bersama-sama dalam liga terutamanya, kita harus mempunyai pemain yang berpengalaman termasuk tenaga import berkaliber sekali gus dapat beraksi secara konsisten dalam saingan Liga Super 2022 nanti,” katanya.
Mengulas mengenai Penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat yang sah menyertai pasukan Sabah FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini, Kim Swee berkata kehadiran "Apek" mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi di gawang gol Sabah FC.
"Salah satu kelemahan kita di musim lalu adalah di bahagian penjaga gol. Kehadiran "Apek" pasti akan menguatkan lagi pasukan terutamanya di bahagian pertahanan.
"Langkah ini penting untuk kita membina sesuatu terutamanya melalui penjaga gol yang berpengalaman serta boleh membimbing pemain muda dan penjaga gol muda di Sabah apabila dia berada di sini nanti," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!