Minyak masak pertama Peladang berpotensi besar
PRODUK minyak masak pertama dengan jenama Peladang yang dihasilkan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Simpang Renggam dilihat mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai salah satu industri hiliran sawit bagi Negeri Johor.
Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Johor, Datuk Sawalludin Ahmad berkata, perkara itu melihat kepada pulangan progresif yang berjaya direkodkan sejak produk itu mula dihasilkan pada 1 September lalu.
"Hasrat dan aspirasi LPP Johor adalah kita melihat produk ini mempunyai potensinya yang tersendiri berdasarkan daripada angka yang ditunjukkan dalam masa yang singkat iaitu sebanyak 207.788 tan metrik sudah berjaya dipasarkan.
"Johor mempunyai khazanah, dan antara kekuatannya juga adalah melibatkan tanaman sawit ahli-ahli kita sendiri. Jadi jika kita mahu meningkatkan potensi produk ini, kita kena melihat keseluruhan iaitu memperkukuh dahulu rantaian industri sawit di negeri ini.
"Apa yang dimaksudkan adalah kita uruskan semua sekali iaitu daripada fasa pemprosesan minyak hingga pembungkusan. Dengan cara ini, kita boleh melihat satu sudut janaan baharu kewangan PPK kita menerusi pembukaan kilang dan peluang-peluang pekerjaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian pada Mesyuarat Agung PPK Parit Raja di Dewan Orang Ramai Parit Raja di sini, pada Selasa (28 Disember).
Sawaluddin berkata, minyak masak dengan kualiti premium dan harga di bawah siling itu dijual dalam botol seberat dua dan lima kilogram (kg) selain sudah mula dipasarkan di semua Peladang Outlet dan pasaraya terpilih di seluruh negara.
"Kita boleh katakan yang produk ini bukan dihasilkan ala kadar kerana buat masa ini memang kita bekerjasama dengan syarikat dikenali bagi penghasilan minyak-minyak ini.
"Minyak masak ini juga sudah mula menembusi pasaran di Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak. Jadi kita melihat langkah mengeluarkan minyak masak dengan jenama sendiri ini merupakan idea terbaik," katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar PPK Simpang Renggam, Eddlie Ismail berkata, semestinya kepentingan paling utama dalam pemasaran dan penjualan produk minyak masak ini adalah pulangan kembali kepada ahli-ahli PPK.
"Istimewa produk kita ini adalah ia memberi pulangan semula keuntungannya kepada ahli-ahli PPK yang mempunyai saham sama ada menerusi dividen atau pun rebat pembelian. Jika pulangannya besar, maka ahli kita juga boleh menerima manfaatnya.
"Produk ini juga kita lihat boleh pergi jauh kerana ia mempunyai hubungan yang rapat dengan ahli-ahlinya, di Johor sahaja ada kira-kira 105,654 ahli dan jika semua mereka memilih menggunakan produk ini, kita mempunyai peluang besar dalam pasaran semasa," katanya.
Eddlie berkata, melihat kepada kemampuan produk itu, pihaknya juga menetapkan sasaran sebanyak 80 tan metrik minyak masak boleh dipasarkan.
"Sejak September kita telah merekodkan sebanyak RM872,618 nilai jualan dengan purata sebanyak 50 tan metrik minyak dipasarkan. Jadi tahun hadapan kita sasarkan sebanyak 80 tan metrik sebulan yang mana termasuk penambahan jumlah kuantiti di jual.
"Perancangan ini akan kita perhalusi lagi bersama ahli-ahli. Kita juga menerima permintaan pembelian minyak dengan jumlah lebih besar yang mana ada juga pihak meminta membeli menggunakan lori tangki iaitu empat tan dan pembelian botol 17 liter, ini akan dipertimbangkan," katanya.
Dalam pada itu, katanya, perancangan tahun hadapan juga akan menyaksikan jualan minyak masak jenama Peladang itu akan cuba menembusi pasaran antarabangsa selain pasaran di Sabah dan Sarawak.
"Kita dah masuk semua pasaran di Semenanjung dan mungkin Sabah Sarawak selepas ini, kita juga sudah ada permintaan di sana. Tetapi paling utama ada kita akan cuba untuk jual produk ini di beberapa negara termasuk Dubai, Oman dan Filipinan yang memang berminat.
"Perancangan kita adalah ia dapat dibuat seawal suku ketiga tahun hadapan. Bagaimanapun, urusan ini memerlukan kesungguhan dan kaedah betul kerana kita tidak mahu berlaku kerugian terutama melibatkan aspek pembayaran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!