Bekas veteran terjejas banjir disaran daftar PPS

Mejar Mohd Shazwan (duduk dua kiri) ketika melawat PPS di SMK Gemas, Tampin pada Ahad.
Mejar Mohd Shazwan (duduk dua kiri) ketika melawat PPS di SMK Gemas, Tampin pada Ahad.
A
A
A

TAMPIN - Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Negeri Melaka dan Negeri Sembilan menyarankan bekas tentera yang terjejas banjir mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) atau Pejabat Daerah bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada mereka.

Pengarahnya, Mejar Mohd Shazwan Afifi Abd Rani berkata, setakat ini terdapat 30 veteran tentera di Melaka dan Negeri Sembilan yang dikesan terjejas akibat banjir.

Bagaimanapun katanya, jabatan itu kini sedang mengenal pasti veteran veteran terbabit supaya mereka mendaftar dan melapor di PPS.

"Insya-ALLAH, sekiranya ada bantuan daripada pihak jabatan kita akan salurkan kepada veteran tentera yang terkesan," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan banjir di sini, pada Ahad.

Beliau turut menjangkakan jumlah itu akan meningkat susulan keadaan hujan.

"Selain PPS dan Pejabat Daerah, veteran tentera yang terjejas boleh mendaftar menerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP)," katanya.

Mohd Shazwan Afifi turut memberitahu, bantuan itu bukan hanya tertumpu kepada veteran tentera malah disalurkan kepada balu veteran.

"Dua balu veteran tentera sudah dikenalpasti iaitu seorang di Negeri Sembilan dan Melaka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!