'Buat masa ini, hanya satu dos penggalak yang diperlukan'

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin Abu Bakar
A
A
A

SHAH ALAM - Pemberian vaksin Covid-19 lebih daripada satu dos penggalak akan dilaksanakan berdasarkan kajian dan respons (evidence-based).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, buat masa ini, hanya satu dos penggalak yang diperlukan untuk meningkatkan ketahanan penerima terhadap wabak Covid-19.

“Lebih dari itu, kita kaji dari masa ke masa bila data saintifik baharu muncul. Penting respon kita ikut data yang baharu. Ini yang dimaksud respon yang ‘evidence-based’,” ciapnya di Twitter pada Ahad sebagai menjawab pertikaian seorang pengguna terhadap kajian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberikan suntikan dos keempat.

Pada Sabtu, Khairy memaklumkan, kumpulan teknikal KKM memaklumkan mereka sedang mengkaji keperluan memberikan suntikan dos penggalak keempat, susulan ancaman penularan jangkitan Omicron.

Khairy berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung kajian yang mendapati pemberian dos penggalak Pfizer kepada penerima suntikan primer jenis Sinovac tidak cukup bagi membendung jangkitan varian Omicron.

Tambah beliau, vaksin Covid-19 telah dibangunkan sebelum kewujudan varian Delta atau Omicron.

“SARS-CoV2 adalah novel Coronavirus yakni virus baharu yang pasti akan melalui mutasi.

“Apabila kita lebih tahu kesan mutasi, respon kita perlu juga berubah. Di sesetengah negara flu jab diambil setiap tahun,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!