Wanita sarat mengandung redah banjir ke klinik desa
SEGAMAT - Seorang wanita yang sarat mengandung tujuh bulan terpaksa meredah banjir paras betis untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di Klinik Desa Gemas Baru di sini pada Ahad.
Nor Shamira Amiruddin, 27, yang ditemani suaminya, Mohd Ali Saharuddin, 32, berjalan kaki sejauh kira-kira 400 meter selepas meletakkan kereta mereka di tepi jalan memandangkan jalan utama ke klinik desa itu ditenggelami air.
Mohd Ali yang merupakan anggota tentera berkata, beliau datang ke klinik mengikut janji temu ditetapkan kerana risau kesihatan dan kandungan isterinya.
“Saya risau jika keadaan banjir semakin teruk, sebab itu saya bawa juga isteri ke klinik hari ini untuk memeriksa kandungan anak sulung kami.
“Selepas urusan pemeriksaan kesihatan selesai, kami perlu pulang ke rumah di Taman Gembira untuk kemas dan selamatkan barang-barang yang perlu,” katanya ketika ditemui pemberita berhampiran klinik berkenaan.
Mohd Ali berkata, banjir kali ini paling teruk pernah dialaminya sejak tinggal di kawasan Gemas Baru lima tahun lepas dan difahamkan banjir seumpama itu pernah berlaku pada 2011.
Seorang suri rumah, Chong Soon Yan, 38, berkata, hujan lebat sejak Jumaat lepas menyebabkan rumahnya dinaiki air hingga paras betis walaupun sudah ditinggikan bagi mengelak bencana itu.
“Sepuluh tahun lepas, banjir pernah lagi teruk dan rumah ditenggelami air setinggi 1.5 meter.
“Di rumah sekarang ini ada anak kecil dan warga emas, sebab itu saya bimbang walaupun rumah sudah tinggi, saya tetap pantau dari masa ke masa kerana hujan kini semakin lebat, perabot dan peralatan elektrik saya sudah bawa ke tingkat atas,” katanya yang memiliki tiga anak.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Agama Gemereh mendapati aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan tidak diabaikan khususnya merekod kehadiran orang ramai menggunakan aplikasi MySejahtera dan mengimbas suhu badan.
Seorang penduduk Kampung Seberang Batu Badak, Nor Ashekin Yahaya, 32, berkata, dia bersama anak lelaki orang kurang upaya (OKU), Mohd Syakir Ikbar, 12, berpindah ke PPS berkenaan sejak Sabtu selepas rumahnya dinaiki air.
“Anak saya terpaksa didukung kerana tidak boleh berjalan, barang-barang seperti perabot dan elektrik terpaksa ditinggalkan kerana paras air naik begitu cepat, apatah lagi rumah di kawasan rendah.
“Saya reda dengan apa yang berlaku. Syukur saya dan anak selamat dan dapat ditempatkan di PPS ini. Sangat selesa dan keperluan saya dan anak diutamakan,” katanya yang telah tinggal di daerah Segamat sejak lebih 30 tahun.
Antara mangsa terawal dipindahkan di Segamat, Muhale Basiran, 63, berkata, hujan berterusan sejak Jumaat menyebabkan air di rumahnya di Kampung Logah naik dengan cepat hingga paras pinggang.
Bagaimanapun Muhale yang juga OKU berkata, persiapan awal telah dilakukan dengan meletakkan barang-barang berharga di tempat tinggi selain membungkus pakaian, cadar, bantal dan tilam menggunakan plastik bagi mengelak dibasahi air.
Setakat ini, 29 kampung dan tiga taman perumahan di Segamat terjejas banjir dengan 30 PPS dibuka bagi menempatkan 1,771 orang daripada 452 keluarga. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!