APM Johor bantu pindah warga emas

Anggota APM membantu memindahkan seorang lelaki warga emas yang menjadi mangsa banjir dari rumahnya di Kampung Sri Makmor, Tangkak ke Bandar Tangkak, pada Ahad.
Anggota APM membantu memindahkan seorang lelaki warga emas yang menjadi mangsa banjir dari rumahnya di Kampung Sri Makmor, Tangkak ke Bandar Tangkak, pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor membantu memindahkan seorang warga emas susulan banjir di Kampung Sri Makmor, Tangkak ke rumah anaknya di Bandar Tangkak, pada Ahad.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, lelaki warga emas berusia 80 tahun itu dipindahkan dengan menggunakan ambulans milik APM.

"Seorang pegawai dan lapan anggota APM membantu memindahkan warga emas tersebut yang sakit tua dan tidak larat untuk berjalan selepas rumahnya dinaiki air," katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, jumlah mangsa banjir di Johor yang melibatkan lima daerah terus meningkat kepada 2,553 orang pada jam 8 malam berbanding 2,022 orang pada jam 4 petang Ahad.

Vidyananthan memaklumkan, jumlah tersebut melibatkan 653 keluarga dari Segamat, Tangkak, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Kluang yang ditempatkan di 45 pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, Johor Bahru dan Kluang menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dan tiga PPS baharu dibuka di daerah berkenaan antara jam 4 dan 6 petang Ahad.

Menurutnya, seorang mangsa banjir dari Kampung Paya Nam dipindahkan ke PPS di Dewan Raya Kampung Sungai Tiram di sini.

"Sementara 11 mangsa banjir melibatkan dua keluarga dari Kampung Muhibbah dan 11 mangsa banjir melibatkan tiga keluarga dari Kampung Melayu Batu 4 di Paloh, Kluang, masing-masing dipindahkan ke PPS di Balai Raya Kampung Muhibbah serta Balai Komuniti Kampung Melayu Batu 4," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!