Azam Hoe Yean cemerlang kolam, pelajaran

Khiew Hoe Yean
Khiew Hoe Yean
A
A
A

PERENANG muda negara Khiew Hoe Yean mahu terus cemerlang pada tahun 2022 dalam sukan dan pelajarannya selepas kejayaan memecahkan rekod kebangsaan dan peribadinya di kolam renang.

Selain berlatih dengan lebih keras di kolam untuk beberapa kejohanan utama pada 2022, Hoe Yean yang akan berusia 20 tahun pada September, juga bersedia untuk memulakan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Perkomputeran di Universiti UCSI.

Walaupun terpaksa berdepan dengan pelajaran dan kolam dalam masa yang sama, pemegang rekod kebangsaan acara renang 200 meter (m) kuak lentang dan 800m gaya bebas, berhasrat meneruskan usaha memecahkan lagi rekodnya dengan memperbaiki lagi catatan masanya, dengan penyertaan di Olimpik Paris 2024 kekal menjadi sasaran utamanya.

“Saya akan meneruskan kerja keras saya di kolam bagi pencapaian lebih baik tahun ini. Saya mahu terus memperbaiki catatan masa saya, bagi memperbaiki catatan masa terbaik saya sendiri.

“Paris 2024 adalah sasaran utama saya kerana dia temasya dunia yang semua orang tahu dan iktiraf. Jadi saya berharap dapat lakukan yang terbaik dalam semua kejohanan akan datang dan akan menyiapkan diri untuk cabaran itu,” katanya.

Mengenai temasya sukan SEA, Asia dan Komanwel yang dijadualkan tahun ini, Hoe Yean yang menang dua pingat perak di Terbuka AS baru-baru ini, berharap akan dapat memberikan yang terbaik jika beliau layak, walaupun akan berhadapan dengan ramai perenang berpengalaman dari seluruh rantau ini.

“Sukan-sukan ini adalah suatu temasya yang besar. Saya akan lakukan yang terbaik dan lihat apa yang berlaku kerana ramai peserta yang berlatih sama seperti saya, dan saya tidak akan memandang rendah sesiapa sahaja yang bertanding dalam sukan itu,” katanya.

Hoe Yean mula mendapat perhatian selepas merangkul lapan pingat emas pada Kejohanan Renang Kumpulan Umur Jemputan Malaysia pada Mac 2020, sebelum menjadi meneruskan kecemerlangannya semasa Terbuka Malaysia ke-63, Jun tahun lalu, walaupun tertangguh beberapa bulan kerana pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang berenang sendirian memecahkan rekod kebangsaan 200m kuak lentang berusia 23 tahun dengan mencatat masa 2:00.80s sekaligus memadam rekod 2:00.94 dicatatkan Alex Lim Keng Liat, dan kemudiannya memecahkan rekod 800m gaya bebas selepas mencatat masa 8:06.00s untuk memadamkan rekod catatan perenang Olimpik negara Welson Sim 8:09.77s.

“Saya berpuas hati dengan keputusan yang saya catatkan pada 2021, kerana saya telah mengatasi situasi paling sukar iaitu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang menyebabkan kita tidak dapat turun ke kolam. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih saya Chris Martin, serta keluarga dan rakan saya yang sentiasa menyokong saya,” katanya lagi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!