Aktiviti bersih kubur rutin duda tiga anak
JASIN - Biarpun baharu pemergian isteri tersayang, namun bukan penghalang kepada seorang ahli Rakan Bersih Kubur Melaka (RBKM) untuk meneruskan aktiviti membersihkan kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seri Minyak, Serkam.
Bapa kepada tiga orang anak, Mohd Azarul Azmi Mad Nor, 31, mengakui, dia pernah terfikir untuk tidak meneruskan program itu memandangkan arwah isterinya, Noor Aishah Aiyub,29, meninggal dunia secara mengejut ketika tidur pada hari Jumaat, 12 Oktober lalu.
Mohd Azarul Azmi berkata, namun memikirkan kata-kata semangat yang sering diberikan arwah, dia kemudiannya tekad memulakan semula program membersihkan tanah perkuburan ditempat arwah dikebumikan walaupun sibuk dengan tugas menjaga anak- anaknya berusia diantara satu hingga 7 tahun.
"Saya pernah rasa lemah untuk meneruskan program ini selepas pemergiaan arwah, kerana arwah tak mengidap sebarang penyakit, tapi bila saya fikir ia program yang baik dan selama ini arwah yang menjadi tulang belakang untuk saya lakukan aktiviti amal, saya bangkit semula.
"Apa yang saya lakukan bukanlah untuk nak dapat nama dan sebab itu juga saya jarang bergambar ketika program kerana apa yang saya lakukan ikhlas kerana ALLAH SWT dan berharap pahala kebaikan itu dapat mengalir kepada arwah isteri saya," katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, kewujudan RBKM sejak Oktober tahun lalu bertujuan supaya lebih ramai yang prihatin mengenai kerja sukarela ini dan tidak menjadikan aktiviti membersihkan kubur sebagai bermusim iaitu menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitiri sahaja.
Menurutnya, walaupub program itu dirancang dalam tempoh yang singkat namun bersyukur ia turut disertai kariah dan ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Seri Minyak.
"Apa yang kami harapkan lebih banyak program-program kesukarelawan dapat dianjurkan oleh RBKM pada tahun depan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!