STL: PSM rayu ASTAF beri kelonggaran import beraksi

Antara aksi menarik pada saingan STL 2020 lalu. - Foto FB Sepak Takraw League
Antara aksi menarik pada saingan STL 2020 lalu. - Foto FB Sepak Takraw League
A
A
A

PERSEKUTUAN Sepak Takraw Asia (ASTAF) dirayu supaya mempertimbangkan semula kelonggaran untuk para pemain import beraksi semula dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) yang bakal menyingkap saingan pada 7 Januari ini.

Malah jelas Naib Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan yang menghormati keputusan ASTAF sebelum ini berkata, ia berikutan edisi kelapan kejuaraan sukan warisan itu mula mendapat perhatian tidak hanya dalam kalangan komuniti takraw dalam dan luar negara sejak beberapa edisi sebelum ini.

"Cumanya saingan edisi ketujuh berlangsung tanpa penyertaan dalam kalangan pemain import kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

"Untuk edisi kelapan saya difahamkan oleh stesen penyiar rasmi bahawa pada tahun ini siaran langsung STL akan ditayangkan di enam negara seperti Thailand, Singapura, Vietnam, Filipina, Indonesia dan Hong Kong.

"Sejujurnya ini merupakan perkhabaran positif untuk pendokong sukan warisan ini setelah tujuh tahun penganjuran sejak 2014, apabila ia terus mendapat perhatian dan sokongan tinggi dalam kalangan komuniti sokongan sukan sepak takraw.

"Jadi saya merayu keprihatinan dan pertimbangan ASTAF supaya pemain import dibenarkan bermain bagi memeriahkan lagi saingan kejohanan ini sekali gus mencapai objektif dan tujuan penganjurannya," katanya.

Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) sebelum ini dilaporkan mengeluarkan arahan terhadap empat pemain badan induk itu - Anuwat Sombatee (Perak Bison), Swatbanchan Seekhwa (Johor Tigris), Aekasit Naphom (Penang Black Panthers) dan Kupithat Khatmimalan (Bomba Fighters) agar tidak mengambil bahagian dalam saingan STL 2021/2022.

Keputusan itu hadir setelah ASTAF mengeluarkan amaran bahawa para pemain berkenaan boleh dikenakan tindakan jika menyertai saingan tersebut kerana PSM bukan lagi ahli gabungan badan induk tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai usaha untuk PSM kembali semula menganggotai ASTAF, Mohd Sumali yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PERSEWIP) berkata, proses penambahbaikan badan induk tersebut sedang aktif berjalan dengan fasa seterusnya adalah mesyuarat agung tahunan (AGM) membabitkan pemilihan kepimpinan baharu pada pertengahan Februari depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!