Perhalusi keputusan tangguh ibadah umrah
SHAH ALAM - Rata-rata jemaah yang bakal menunaikan umrah dalam masa terdekat menyifatkan keputusan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menangguhkan ibadah tersebut bermula 8 Januari ini sebagai tindakan tergesa-gesa dan tidak adil.
Tinjauan Sinar Harian sekitar Lembah Klang pada Ahad mendapati, mereka terkejut dan terkilan dengan pengumuman pada Sabtu itu setelah mereka bersiap sedia untuk menjadi tetamu ALLAH SWT di Makkah tidak lama lagi.
Salah seorang bakal jemaah yang hanya mahu dikenali sebagai Hafiz berkata, hasrat membawa ibunya yang berusia 70 tahun itu mengerjakan ibadah umrah pada tahun ini tidak kesampaian walaupun sudah merancang sejak tahun 2018.
Dakwanya, keputusan dibuat oleh Khairy pada Sabtu itu mampu memberikan kesan jangka panjang yang buruk bukan sahaja kepada jemaah sendiri, tapi kepada agensi umrah yang baru ingin bernafas setelah sekian lama perniagaan terhenti.
“Kerajaan memberi arahan bersifat bolak-balik tanpa fikirkan kesan kepada jemaah dan syarikat yang mengendalikan jemaah umrah.
“Saya masih boleh bersabar (tangguh umrah) kerana masih ada tenaga, tapi bagaimana pula dengan ibu saya yang saban tahun menghitung waktu ingin ke sana (Makkah),” katanya kepada Sinar Harian.
Bakal jemaah umrah, Wan Faizah Mohamad Yusof, 40, pula berkata, dia kecewa dengan keputusan kerajaan menangguhkan ibadah berkenaan secara drastik walaupun baru mengumumkan akan membuat penilaian tentang perkara tersebut beberapa hari lalu.
“Saya kecewa kerana terdapat diskriminasi untuk menjalankan ibadah, tapi tidak untuk perkara lain.
“Saya minta kerajaan terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya memperhalusi keputusan yang dibuat supaya tidak menekan orang yang ingin beribadah,” katanya yang terpaksa tangguhkan hasrat menunaikan umrah pertamanya.
Turut senada dengan Wan Faizah ialah Norita Sahir, 35, yang mencadangkan agar sempadan negara terus ditutup bagi menghalang penyebaran virus Covid-19, di samping meminta layanan sama rata diberikan kepada pelancong dan jemaah umrah.
Dia yang ketika ini sedang hamil empat bulan ingin melaksanakan ibadah tersebut secepat mungkin sebelum kandungannya semakin membesar, namun terpaksa menerima keputusan penangguhan umrah itu dengan hati yang reda.
“Kita tidak tahu bila virus ini akan hilang sepenuhnya, tapi keputusan beliau sangat menekan kami sehingga tidak mampu berbuat apa-apa dan sedih sepanjang hari.
“Tutup sahaja sempadan negara supaya adil untuk semua orang,” katanya.
Seorang lagi bakal jemaah, Salmah Hamid, 60, pula berkata, hasratnya menunaikan umrah bersama rakan-rakan terpaksa ditangguhkan sementara walaupun dia akan bertolak ke Makkah pada 10 Januari ini.
Walaupun dia menerima pengumuman tersebut atas dasar menghalang penularan virus Covid-19, namun tetap berasa kecewa dengan keputusan tersebut.
“Saya fikir bagus juga keputusan tersebut dibuat dalam keadaan penularan Covid-19 varian Omicron ini dibuat, tapi bila hati dah rasa nak ke sana (Makkah) dan dihalang, rasa kecewa,” katanya dengan nada yang sedih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!