Tangguh umrah: Agensi pelancongan tanggung kerugian besar
SHAH ALAM - Agensi pelancongan menanggung kerugian yang besar apabila kerajaan menarik semula keputusan penangguhan perjalanan jemaah umrah bermula pada 8 Januari ini.
Malah agensi pelancongan terbabit bakal berhadapan dengan tuntutan tribunal atau mahkamah sivil daripada bakal jemaah umrah bagi menuntut semula bayaran telah dibuat akibat penangguhan.
Ketua Pegawai Eksekutif POTO Travel & Tour Sdn Bhd, Ab Rahman Mohd Ali berkata, perniagaan mereka baharu sahaja bermula setelah lama menghentikan operasi, namun kembali menerima tekanan.
"Keadaan ini memang sukar, sebenarnya kita berharap pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berbincang dengan kita atau persatuan secara lebih terperinci untuk melihat implikasi kerugian.
"Bila berlaku begini akan ada yang berusaha mengambil tindakan undang-undang untuk menuntut wang mereka, jadi diharap apa sahaja kerugian ditanggung oleh jemaah dan agensi wajar diambil kira,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif YHA Travel & Tours (M) Sdn Bhd, Datuk Seri Mohd Ayub Hassan berkata, anggaran kos kerugian yang perlu ditanggung syarikat itu dianggarkan sebanyak RM200,000 hingga RM300,000.
"Nilai anggaran kerugian itu untuk bulan Januari dan membabitkan lebih kurang 30 jemaah yang membuat tempahan dan pembayaran," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, nilai kerugian akan menjadi semakin besar sekiranya membabitkan lebih ramai bakal jemaah umrah yang telah membuat tempahan dan pembayaran kepada agensi pelancongan.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mempertimbangkan semula keputusan untuk menangguhkan perjalanan rakyat negara ini ke Arab Saudi untuk mengerjakan ibadah umrah.
Pada Jumaat, kerajaan memaklumkan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Januari bagi membendung penularan varian Omicron, susulan kebimbangan terhadap penularan varian berkenaan akibat ketidakpatuhan jemaah umrah kepada prosedur kuarantin di tempat kediaman.
Berikutan itu, Persatuan Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) memaklumkan anggaran kos kerugian perlu ditanggung jemaah yang telah berdaftar ekoran penundaan itu dianggarkan sebanyak RM210 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!