Perdana Menteri Sudan letak jawatan
PERDANA Menteri Sudan, Abdalla Hamdok mengumumkan peletakan jawatannya pada Ahad berikutan krisis politik negara itu, lapor Xinhua.
"Saya mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri untuk memberi laluan kepada warga lain daripada negara ini," kata Hamdok dalam ucapannya menerusi siaran TV rasmi Sudan.
“Anda telah memberikan penghormatan kepada saya menjadi perdana menteri, dan saya telah berusaha sedaya upaya menghalang negara ini daripada terjerumus dalam bencana,” katanya.
"Di bawah perbezaan politik dan konflik nihilistik antara semua komponen peralihan, saya telah lakukan pelbagai cara untuk mencapai kata sepakat (konsensus) yang diingini dan perlu... ia tidak berlaku," tambahnya.
Hamdok menekankan pentingnya memulakan dialog secara menyeluruh bagi menamatkan krisis politik di negara itu.
"Kunci utama ke arah penyelesaian dilema yang telah berlanjutan selama lebih enam dekad, adalah dengan menggunakan dialog meja bulat melibatkan semua komponen masyarakat Sudan agar sepakat terhadap piagam negara dan menetapkan jalan ke arah melengkapkan transformasi demokrasi sivil," katanya.
Bagaimanapun, pengganti Hamdok masih tidak jelas dan tiada calon yang dilihat layak berikutan krisis politik yang tercetus selepas Panglima Angkatan Tentera Sudan, Abdel Fattah Al-Burhan, mengisytiharkan darurat pada 25 Oktober dan membubarkan Majlis Berdaulat dan kerajaan.
Pada 21 November, Al-Burhan memecat Perdana Menteri, Abdalla Hamdok kemudian menandatangani perjanjian politik, termasuk mengembalikan semula jawatan perdana menteri, tetapi perjanjian itu gagal meredakan keadaan.
Keadaan dikeruhkan lagi oleh protes jalanan akibat rasa tidak puas hati rakyat terhadap kenaikan harga makanan, gas dan barangan keperluan harian di negara ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!