Fenomena air pasang besar: Tiada limpahan air di Klang
KLANG - Fenomena air pasang besar terkawal di daerah ini dan tiada sebarang limpahan air berlaku di kawasan berisiko termasuk Teluk Gong dan Pelabuhan Klang pada Isnin.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Klang berkata, tiada kawasan dilapor mengalami limpahan air termasuk di dua kawasan berkenaan setakat pagi ini.
"Tiada laporan diterima termasuk di kawasan penempatan juga tidak terjejas akibat fenomena air pasang ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor diletakkan dalam kawasan berisiko bagi menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku selama empat hari bermula Ahad sehingga Rabu.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkata, walaupun kejadian fenomena air pasang besar kali ini berskala lebih kecil berbanding November lalu, keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat serentak.
Katanya, ia akan menyebabkan berlakunya banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai.
“Sehubungan itu, orang ramai khususnya pengunjung pantai dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika menjalankan sebarang aktiviti air, riadah dan rekreasi pada tarikh dinyatakan di kawasan terbabit.
“Orang ramai juga diminta sentiasa memantau keadaan cuaca dan sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak, mereka perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa yang ditetapkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!