Dua lemas, seorang hilang banjir di Beluran

Keadaan banjir di Beluran mengorbankan dua nyawa dan seorang lagi hilang sejak Jumaat lalu.
Keadaan banjir di Beluran mengorbankan dua nyawa dan seorang lagi hilang sejak Jumaat lalu.
A
A
A

BELURAN - Banjir di daerah ini telah mengorbankan dua nyawa akibat lemas dan seorang lagi masih dilaporkan hilang setakat ini.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, setakat ini pihaknya menerima tiga laporan berasingan membabitkan mangsa lemas dan hilang.

Katanya, kes terbaharu diterima membabitkan seorang lelaki warga emas maut selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Liningkung di sini, pada Ahad.

"Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa yang juga petani berusia 60 tahun dikatakan cuba menyeberang sungai terbabit untuk menuju ke rumahnya yang dilanda banjir.

"Mangsa kemudian ditemui kira-kira jam 2 petang oleh penduduk kampung tidak jauh dari tempatnya hanyut dan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Mangsa dibawa terus ke Klinik Kesihatan Telupid namun disahkan meninggal dunia sebelum dilaporkan kepada pihak polis di Balai Polis Telupid untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Seorang mangsa masih hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberang jalan Kampung Kinadaan.
Seorang mangsa masih hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberang jalan Kampung Kinadaan.

Kasim berkata, pada Jumaat lepas pihaknya turut menerima dua laporan berasingan membabitkan dua mangsa hilang berikutan keadaan hujan lebat yang berlaku di daerah ini.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa pertama, Rajis Nawang, 28, yang juga nelayan dikatakan pergi memukat di Kuala Penubukan, Paitan, sebelum disedari hilang oleh bapanya.

"Mangsa kedua dikenali sebagai Kaerul, 26, iaitu seorang pekerja ladang dilaporkan dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberang jalan Kampung Kinadaan.

"Ketika kejadian dipercayai air mencecah kira-kira 1.5 meter dari paras jalan. Kehilangan mangsa disedari oleh majikan sebelum laporan polis dibuat," katanya.

Kasim berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan pada hari yang sama di kedua-dua lokasi yang dilaporkan berlaku kejadian.

"Operasi di dua kawasan berlainan itu membabitkan agensi dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Mangsa pertama akhirnya ditemui pada jam 12.30 tengah hari Sabtu lalu di kawasan pokok bakau iaitu kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian dan mangsa kedua sehingga kini masih belum ditemui," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!