Mersing daerah terbaharu dilanda banjir

Anggota bomba membantu memindahkan enam mangsa banjir di Kampung Tanah Banjir Tebing Tinggi, Segamat, pada Ahad.
Anggota bomba membantu memindahkan enam mangsa banjir di Kampung Tanah Banjir Tebing Tinggi, Segamat, pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mersing menjadi daerah terbaharu di Johor dilanda banjir melibatkan 366 orang daripada 90 keluarga yang dipindahkan ke enam pusat pemindahan sementara (PPS) bermula jam 6 petang Ahad.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, mangsa banjir itu antaranya dari Kampung Che Wok, Kampung Sri Pantai, Kampung Orang Asli Peta, Kampung Tenglu Besar dan Kampung Tenglu Laut.

Beliau menambah, ini termasuk mangsa banjir dari Kampung Air Papan Tengah, Kampung Air Papan, Kampung Sawah Dato, Kampung Lubuk, Kampung Pengkalan Batu dan Kampung Jemari.

"Mereka dipindahkan ke PPS di Balai Raya Sri Pantai, Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Pantai, Kompleks Taman Negara Endau-Rompin, SK Tenglu, SK Air Papan dan Politeknik Mersing sejak 6 petang hingga 11 malam Ahad.

"Selain itu terdapat juga pertambahan mangsa banjir di beberapa daerah lain seperti di Segamat, Mersing dan Kluang manakala mangsa banjir di Tangkak, Kota Tinggi dan Johor Bahru masih sama," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu memindahkan warga emas ke PPS Dewan Raya Sungai Tiram, Johor Bahru pada malam Ahad.
Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu memindahkan warga emas ke PPS Dewan Raya Sungai Tiram, Johor Bahru pada malam Ahad.

Vidyananthan memberitahu, jumlah keseluruhan mangsa banjir di Johor melibatkan tujuh daerah terus meningkat kepada 3,841 pada jam 8 pagi berbanding 3,665 pada jam 4 pagi Isnin.

Jelasnya, jumlah berkenaan melibatkan 1,008 keluarga yang kini ditempatkan di 62 PPS dengan mangsa banjir paling ramai adalah dari Segamat melibatkan 3,178 daripada 828 keluarga.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, tiga jalan ditutup di Segamat untuk semua kenderaan melibatkan Jalan Putting ke Kampung Putting, Jalan Tumang ke Tumang dan Jalan Kuala Balai Badang ke Kampung Balai Badang.

Sementara dua jalan di daerah itu katanya, melibatkan Jalan Felda Medoi ke Surau Kampung Logah dan Jalan Jabi Kampung Bukit Tempurung ke Kampung Bukit Tempurung dibuka untuk kenderaan berat sahaja.

Di Mersing pula katanya, jalan ke Kampung Orang Asli Peta dan Kampung Orang Asli Punan masih ditutup untuk semua kenderaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!