Liverpool masih ada peluang hambat City

Van Dijk - Foto Getty Images
Van Dijk - Foto Getty Images
A
A
A

BIARPUN sekadar terikat 2-2 ketika berdepan Chelsea pada Isnin, namun Liverpool dilihat masih berpeluang untuk terus mencabar kedudukan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini Manchester City.

Perkara itu ditegaskan pertahanan The Reds, Virgil Van Dijk yang optimis dengan peluang skuad kendalian Jurgen Klopp itu untuk terus memberikan tekananan kepada The Citizens.

“Kita perlu akui memang ada ‘jurang’ antara kedua pasukan, tetapi dalam bola sepak tidak ada perkara yang mustahil kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Apa sahaja boleh berlaku.

“Lagi pun, kita pernah berada di puncak dan turut mencipta ‘jurang’ dengan pasukan-pasukan lain; namun sayangnya kami tidak konsisten hingga ‘terpaksa’ melepaskan kedudukan itu.

“Oleh itu, apa yang perlu kita lakukan sekarang adalah untuk kekal fokus dengan pasukan sendiri selain menghasilkan keputusan-keputusan yang positif pada perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya.

Untuk rekod, Liverpool hampir melakar kemenangan pada aksi di Stamford Bridge setelah Sadio Mane memanfaatkan kesilapan tuan rumah sebelum membuka jaringan pada minit ke-9 sebelum penyerang sensasi, Mohamed Salah menjaringkan gol kedua pada minit ke-26.

Bagaimanapun, Mateo Kovacic merapatkan jurang gol menerusi percubaan cantik dari luar kotak penalti pada minit ke-42 sebelum Christian Pulisic meledak jaringan penyamaan pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan percubaan-percubaan menarik dilakukan kedua-dua pasukan dalam usaha menambah jaringan, namun kesemua percubaan berkenaan dilihat gagal menghasilkan jaringan tambahan hingga wisel penamat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Van Dijk mengakui Chelsea sebagai sebuah pasukan yagn berkualiti hingga memaksa benteng pertahanan Liverpool bekerja keras bagi mengekang asakan-asakan yang dilancarkan.

“Bagi saya, Chelsea merupakan pasukan yang bagus, tetapi dalam masa sama kita juga berjaya mengekang asakan-asakan yang dilancarkan mereka.

“Apa pun, kita lega kerana berjaya membawa pulang mata daripada perlawanan ini dan kami mahu memastikan selepas ini kita menghasilkan kejayaan pula,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!