Sanggup tukar kelas demi minat
Nur Hafizah Muhamud Fozi, 18, berkata, pada mulanya hasrat berkenaan dihalang kedua orang tua kerana mahu dia lebih berjaya dalam bidang sains.
“Saya memang minat sains komputer dan pemprograman animasi serta nekad nak masuk kelas kedua. Memang awalnya ada halangan sebab mak ayah bimbang masa depan tapi saya yakin insya-ALLAH boleh berjaya," katanya.
Anak bongsu daripada dua beradik itu juga mengakui tidak sukar untuk belajar jika memahami mata pelajaran selain perlu berusaha membuat latihan.
“Pemprograman ni bagi saya subjek yang baru dan teruja nak belajar. Saya dah mohon untuk sambung belajar dalam jurusan sains komputer dan tak kisah dapat mana-mana universiti,” katanya yang meminati subjek matematik dan mementingkan jawapan terbaik.
Sementara itu, ibunya, Kalsom Awang, 54, sanggup mengambil cuti bersama bapanya semata-mata untuk menemani Nur Hafizah mengambil keputusan SPM.
“Kami sanggup cuti hari ni demi nak bagi sokongan kepada anak. Memang perasaan semua campur aduk macam kami pula nak ambil keputusan sedangkan anak ‘relax’ saja.
“Bila nama anak disebut pelajar terbaik tu, kami rasa terkejut campur gembira sebab tak sangka. Anak pun tak bagi tahu apa-apa. Memang ‘surprise’ sangatlah. Syukur Alhamdulillah,” kata kerani Pos Malaysia itu.
Anak bongsu daripada dua beradik ini ialah satu-satunya pelajar cemerlang SMK Puncak Alam 3 (SMKPA3) yang mendapat keputusan berkenaan bagi tahun ini.
Pengetua SMKPA3, Suriati Moharom berkata, pencapaian cemerlang SPM kali ini cukup membanggakan apabila gred purata sekolah meningkat menjadi 4.81 berbanding 5.25 bagi tahun lepas.
“Lebih menggembirakan saya dan dianggap sebagai hadiah persaraan apabila semua calon lulus kesemua mata pelajaran sekali gus menjadikan program kemenjadian SMKPA3 mencapai sasarannya.
“Peratus lulus meningkat dari 94.19 peratus kepada 94.81 peratus manakala pelajar lulus semua pelajaran meningkat dari 43.23 peratus menjadi 66.88 peratus,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!