Al-Quran penawar terbaik trauma mangsa banjir

Timbalan Komander FRU Asisten Komisioner Rosman Kasman (kanan) bersama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Murni, Datuk Mohd Asyaharim (tengah) menyerahkan sumbangan kitab al-Quran kepada Surau Al-Munir
Timbalan Komander FRU Asisten Komisioner Rosman Kasman (kanan) bersama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Murni, Datuk Mohd Asyaharim (tengah) menyerahkan sumbangan kitab al-Quran kepada Surau Al-Munir
A
A
A

HULU LANGAT ‐ Ayat suci al-Quran merupakan penawar terbaik untuk menghilangkan perasaan takut dan trauma mangsa banjir yang melanda negara.

Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Asisten Komisioner Rosman Kasman berkata, bacaan al-Quran dapat mengawal emosi dan kebimbangan ketika diuji musibah.

Justeru katanya, pasukan itu bersama badan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Restu dan beberapa NGO lain menyerahkan kira-kira 1,600 naskhah al-Quran kepada keluarga Muslim yang terjejas di sekitar kawasan Taman Sri Nanding di sini pada Isnin.

"Ramai penduduk mengeluh kerana tidak dapat membaca al-Quran kerana rosak ditenggelami banjir.

"Jadi kami bersama beberapa NGO ini mengambil inisiatif untuk mengagihkan al-Quran kepada mereka dan bantuan bakul makanan serta beberapa peralatan lain untuk meringankan beban mereka," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Surau Al-Munir di sini pada Isnin.

Antara barang keperluan asas yang disumbangkan oleh NGO terlibat.
Antara barang keperluan asas yang disumbangkan oleh NGO terlibat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Mohd Asyaharim Abdul Latiff berkata, pihaknya memerlukan lebih banyak lagi naskhah al-Quran untuk diagihkan kepada mangsa banjir di seluruh negara.

"Saya difahamkan kira-kira 1,200 keluarga Muslim terjejas memerlukan al-Quran dan kita telah mewakafkan 1,000 naskhah untuk penduduk di sini dan berharap setiap rumah ada satu naskhah.

Artikel Berkaitan:

"Kita perlukan lebih banyak lagi, setakat banjir kali ini kita telah mewakafkan sekitar 50,000 naskhah di seluruh negara dan kami memerlukan lagi 100,000 lagi untuk diedarkan secepat mungkin," katanya.

Mohd Asyaharim berkata, orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian dengan mewakafkan kitab suci al-Quran secara dalam talian menerusi pautan www.nasyrulquran.com/waqf-online.

Dalam pada itu, Pengerusi Surau Al-Munir, Razak Ahmad bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia khususnya FRU dan NGO terlibat dalam memberi bantuan tersebut.

"Sepanjang bencana ini kita telah menerima sekitar 500 naskhah hasil sumbangan NGO dan orang ramai.

"Sudah 22 tahun saya menetap di sini dan ini kali pertama banjir besar. Jadi saya berterima kasih kepada NGO dan FRU walaupun sudah masuk hari ke-13 mereka masih tetap berkampung di sini membantu kami," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!