277 nelayan di tiga negeri terjejas banjir
KUANTAN - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengenal pasti seramai 277 nelayan terjejas akibat banjir di Pahang, Selangor dan Melaka dengan anggaran kerugian mencecah RM2 juta.
Nilai kerugian yang dianggarkan itu melibatkan kerosakan rumah, peralatan rumah dan peralatan menangkap ikan.
Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, seramai 63 kakitangan agensi itu turut terjejas dalam kejadian banjir baru-baru ini.
Menurut beliau, bagi meringankan beban nelayan terlibat, LKIM menyediakan bantuan membaik pulih rumah sehingga RM10,000 dan bantuan peralatan RM1,000.
"LKIM kini sedang mengenal pasti kerugian sebenar ditanggung nelayan terlibat untuk penyaluran bantuan melalui Tabung Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan.
"Bagi kakitangan LKIM yang terjejas akibat bencana itu, kita telah bersetuju dan meluluskan bantuan RM2,000," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena lawatan pasca banjir dan penyerahan bantuan kepada kakitangan dan nelayan di Wisma LKIM di sini pada Isnin.
Turut hadir, Ketua Pengarah LKIM, Yusuff Othman.
Syed Abu Hussin berkata, pihaknya juga akan meneliti bentuk bantuan yang ada bagi membantu nelayan terjejas untuk kembali ke laut selepas banjir surut.
Sementara itu katanya, LKIM akan meneruskan program pasar bergerak bagi membantu rakyat khususnya penduduk di kawasan yang terjejas banjir mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah.
Menurutnya, sebanyak lapan pasar bergerak akan disediakan ke lokasi ditetapkan dengan sasaran operasi 20 kali sebulan di 160 lokasi.
"Harga barang keperluan yang ditawarkan 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran," katanya.
Mengulas tentang bekalan ikan ketika musim tengkujuh kali ini, beliau berkata, aktiviti nelayan dan pendaratan ikan di beberapa negeri masih berjalan termasuk di jeti LKIM di Kuantan.
"Hasil tinjauan saya ke jeti LKIM di sini mendapati bot-bot nelayan masih mendarat bersama hasil tangkapan dengan harga yang masih munasabah.
"Bekalan ikan tidak menghadapi masalah kerana tidak semua negeri terlibat dengan bencana banjir kali ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!