Banjir di Terengganu pulih sepenuhnya
KUALA TERENGGANU – Banjir gelombang ketiga di Terengganu pulih sepenuhnya apabila semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Dungun ditutup secara rasmi pada jam 12 tengah hari pada Isnin.
Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, semua 137 mangsa banjir daripada 42 keluarga yang sebelum ini menghuni di dua PPS sudah pulang ke rumah masing-masing sejak pagi.
“Dengan penutupan PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan Dewan Orang Ramai Kampung Shukor, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah kini dalam keadaan berjaga-jaga menghadapi sebarang kemungkinan banjir.
“Keadaan cuaca sekarang adalah mendung dan berangin bagaimanapun Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan yang dijangka tamat pada 4 Januari,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Terengganu dilanda banjir gelombang ketiga pada Khamis lalu dengan 69 penduduk di Kampung Pasir Raja, Dungun menjadi mangsa terawal dipindahkan ke PPS.
Sehari kemudian, Kemaman menjadi daerah baharu terjejas akibat banjir menjadikan angka keseluruhan mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 433 orang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!