Isu air: Pulau Pinang sedia jumpa di mahkamah
GEORGETOWN - Pulau Pinang bersedia untuk berjumpa dengan kerajaan Kedah di mahkamah bagi menyelesaikan isu tuntutan caj air mentah yang dibangkitkan sebelum ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya sedang menunggu tindakan kerajaan Kedah dalam menyelesaikan masalah yang berlarutan sejak 10 tahun lalu.
Menurutnya, kerajaan negeri juga bersedia selain turut mempunyai hujah-hujahnya yang sendiri untuk dibawa ke muka pengadilan.
"Kita jumpa di mahkamah, kita sebenarnya sedang menunggu kerana cakap-cakap di luar pun, tidak bermanfaat kepada sesiapa pun. Jika benar mahu isu ini diselesaikan, biar sampai ke mahkamah.
"Kita sudah bersedia, dan (kita) ada hujah-hujah kita. Kita tidak pernah jangka perkara ini tetapi terpulang lah kepada negeri Kedah, sama ada memang nak bawa ke mahkamah atau sebaliknya," katanya ketika ditemui Majlis Pengiktirafan dan Anugerah George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) di sini pada Isnin.
Kon Yeow menambah, perkara seperti itu tidak pernah berlaku namun kerajaan negeri bersedia dan menyerahkannya kepada Kedah.
"Kedah ada melantik pakar undang-undang untuk membuat kajian, jika ia berasas, ia terpulang kepada mereka (Kedah).
"Penemuan kajian itu akan menentukan sama ada ia boleh dibawa ke mahkamah atau sebaliknya dan kita sentiasa menunggu," ujarnya.
Pada Sabtu, kerajaan negeri Kedah telah melantik peguam bagi mendapatkan konsultasi menguruskan tuntutan caj air mentah terhadap Pulau Pinang.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, tindakan itu menunjukkan kerajaan negeri serius dalam isu tuntutan terbabit.
Kerajaan Kedah sebelum ini mengemukakan tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun berikutan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapat bekalan air dari Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah.
Bagaimanapun, Kon Yeow sebelum ini menegaskan, kerajaan Pulau Pinang tidak akan membuat sebarang bayaran sebagai bayaran pajakan kepada Kedah.
Tambahnya, kerajaan Persekutuan juga tidak perlu membayar sebarang tuntutan luar daripada perjanjian sedia ada.
Dalam perkembangan sama, Kon Yeow berkata, mengikut konvensyen antarabangsa, sesiapa sahaja mempunyai hak riparian untuk penggunaan air mentah.
"Banyak contoh yang boleh kita ambil, kebanyakannya sungai di Eropah yang mengalir ke beberapa negara. Berdasarkan konvensyen antarabangsa, semua negara dibenarkan menggunakan air dari sungai berkenaan.
"Begitu juga kita, Pulau Pinang mempunyai hak untuk menggunakan air dari Sungai Muda dari Kedah. Pulau Pinang mempunyai hak untuk menggunakan air mentah itu selagi ia tidak menjejaskan hak generasi akan datang untuk menggunakannya,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!