Penduduk Kota Kuala Muda waspada fenomena air pasang besar
SUNGAI PETANI - Penduduk berdekatan pantai di Kota Kuala Muda dekat sini berada dalam keadaan berwaspada dan membuat persediaan bagi menghadapi fenomena air pasang besar dan diramal berlaku sehingga Rabu ini.
Tinjauan Bernama di beberapa kampung di situ mendapati, rata-rata penduduk peka dan mengambil serius amaran yang dikeluarkan Bahagian Pengurusan Zon Pantai, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia itu.
Penduduk Kampung Hujung Matang, Hasnah Mohd Rejab, 57, berkata, sebaik sahaja mengetahui mengenai amaran berkenaan, beliau segera menyimpan barangan dan dokumen penting di tempat selamat serta mengemas pakaian bersesuaian yang diperlukan.
“Barang-barang elektrik pun saya letak pada tempat tinggi malah saya juga simpan khemah dan barangan lain yang berkaitan dalam kereta siap-siap untuk memudahkan pergerakan keluarga saya semasa air pasang besar ini berlaku dengan teruk,” katanya.
Bagaimanapun, berdasarkan pemantauan Bernama sejak semalam, air pasang besar belum berlaku di kawasan tersebut.
Hasnah berkata, keluarganya sentiasa mengambil berat akan setiap amaran yang dikeluarkan berkaitan cuaca ataupun sebarang fenomena kerana masih trauma dengan tragedi tsunami yang berlaku di kawasan itu pada 2004.
Seorang lagi penduduk, Roslina Ismail, 47, berkata, dia dan keluarganya telah pun bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dengan memastikan barangan dan dokumen penting sentiasa berada di tempat selamat.
“Saya dan keluarga pernah berhadapan detik cemas air naik sampai paras lutut ketika kejadian air pasang besar kira-kira dua tahun lepas. Waktu itu, saya sedang tidur, sedar-sedar bangun jam 4 pagi, tengok air sudah naik,” katanya.
Sementara itu, penduduk Kampung Paya, Mohd Tarmizi Hassanudin, 50, memberitahu, dia dan keluarganya sudah biasa dengan kejadian air pasang besar, justeru mereka sememangnya sentiasa berjaga-jaga dan bersedia untuk berhadapan apa jua kemungkinan.
“Kami sentiasa berwaspada... tambahan pula saya sendiri berpengalaman menghadapi tragedi tsunami pada 2004. Perkakasan elektrik kena simpan pada tempat tinggi selain pastikan keselamatan diri dan keluarga sebaik mungkin,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Kapten (PA), Saifuddin Abdullah berkata, bacaan paras air laut setakat tengah malam tadi adalah setinggi 2.31 meter dan ia tidak menjejaskan kawasan di sekitar daerah Kuala Muda buat masa ini.
Beliau menjelaskan, pihaknya berada dalam siap siaga menerusi pengawasan di Menara Pemerhati Pantai Merdeka dan anggota terlibat diarahkan memantau paras air laut dari semasa ke semasa.
“Orang ramai juga diminta supaya tidak mendekati pantai ketika amaran air pasang besar ini, di sekitar daerah Kuala Muda,” katanya.-- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!