Pemuda Pas bantu servis motosikal terjejas banjir

Sukarelawan ARC bantu menghidupkan enjin motosikal, menukar minyak hitam dan palam pencucuh serta melakukan servis-servis yang lain. Foto: FB Alternative Riding Club (ARC)
Sukarelawan ARC bantu menghidupkan enjin motosikal, menukar minyak hitam dan palam pencucuh serta melakukan servis-servis yang lain. Foto: FB Alternative Riding Club (ARC)
A
A
A

SHAH ALAM – Alternative Riding Club (ARC) iaitu kelab permotoran di bawah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS), Pemuda Pas menyatakan telah menggerakkan Misi Bantuan Banjir di seluruh negara bagi membantu mereka yang terkesan dengan musibah tersebut.

Ketua Pengarah DACS, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, antara aktiviti yang terlibat ialah menghidupkan enjin motosikal, menukar minyak hitam dan palam pencucuh serta melakukan servis-servis yang lain.

Selain itu katanya, sukarelawan ARC turut terlibat dalam aktiviti gotong-royong membersihkan rumah-rumah mangsa banjir.

“Musibah banjir yang menimpa negara kita memberikan kesan kepada ramai pihak dalam pelbagai bentuk dan keadaan.

“Ada yang ditenggelami rumah, rosak alat perabot, alat dapur, alatan kerja, kenderaan serta motosikal khususnya bagi anak muda,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Muhammad Faizzuddin memaklumkan, ARC ini dipimpin oleh Azha Mat Salleh dan menerusinya misinya telah membantu di beberapa tempat antaranya di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

“Di Hulu Langat, Selangor ARC telah melakukan operasi bermula jam 8 pagi sehingga 7 malam dengan tiga titik temu dan telah berjaya membaiki sebanyak 300 buah motosikal.

“Di Jelabu, Negeri Sembilan ARC yang sukarelawannya datang dari zon selatan khususnya Johor telah berjaya membaiki sebanyak 60 buah motosikal yang terjejas akibat banjir.

Artikel Berkaitan:

“Di Lanchang, Pahang ARC turut melancarkan operasi membaiki motosikal yang ditenggelami banjir dengan penyertaan sukarelawan ARC Pulau Pinang,” jelasnya.

Beliau pada masa sama mengharapkan agar lebih ramai golongan muda terlibat dalam aktiviti bermanfaat kepada masyarakat dan negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!