Mekanisme subsidi petrol bersasar dimuktamadkan Julai 2019

Petrol RON95 dan RON97. -Foto Bernama
Petrol RON95 dan RON97. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menjangkakan dapat memuktamadkan mekanisme pelaksanaan sistem kad khas petrol subsidi secara bersasar selewat-lewatnya pada Julai depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini berikutan pelbagai aspek yang perlu diperhalusi termasuk mengenal pasti senarai penerima yang layak mendapat bantuan tersebut.

Pada masa sama, Kementerian Kewangan juga memerlukan masa untuk menyempurnakan ketetapan permintaan cadangan (RFP) bagi tujuan pemilihan vendor berkaitan.

"Kita mahu memastikan program ini berjalan lancar dan komponen terpentingnya adalah mengutamakan senarai penerimanya.

"(Malah) senarai yang sedang disediakan itu melibatkan sebanyak 17 agensi dan bukan hanya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Pendaftaran dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

"Pemeriksaan terperinci ini memakan masa dan inilah seperti yang disebutkan oleh Timbalan Menteri (Chong Chieng Jen) di Parlimen (semalam)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis mengumumkan jalinan kerjasama antara Petronas Dagangan Bhd (PDB), Loob Holding Sdn Bhd (Loob) serta Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan Timbalan Naib Canselor (Jaringan industri, Komuniti, Alumni dan Keusahawanan) UiTM, Profesor Datuk Dr. Rahmat Mohamad

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Chong dipetik sebagai berkata kerajaan masih belum membuat keputusan muktamad mengenai mekanisme pelaksanaan subsidi petrol secara bersasar itu.

Menurutnya, mekanisme itu perlu memenuhi tiga ciri utama iaitu pelaksanaannya lancar dan memudahkan pengguna, menggunakan sistem yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan tinggi manakala aspek ketiga adalah ia dapat digunakan di semua stesen minyak di bandar atau di luar bandar.

Sementara itu, pada majlis hari ini, PDB berkata kerjasama dengan Loob itu membabitkan pembukaan premis francais Tealive di rangkaian Kedai Mesra Petronas di seluruh Malaysia, termasuk sasaran pembukaan 300 kedai tersebut dalam tempoh tiga tahun.

Syed Zainal Abidin berkata kerjasama itu sejajar dengan strategi syarikat untuk mengembangkan perniagaan bukan berasaskan bahan api selain menjadi pusat sehenti komuniti.

Kerjasama itu turut memberi peluang keusahawanan bagi penuntut tahun akhir UiTM untuk diserapkan ke dalam program latihan industri dan perintis berkaitan. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!