Mangsa terakhir bot karam di Tawau ditemui
TAWAU - Mangsa terakhir bot karam ditemui dalam keadaan terapung di perairan Sungai Membalua, di sini, awal pagi Isnin.
Mayat Rahena Muhaimin, 20, ditemui pada jam 8.34 pagi iaitu kira-kira 2.2 batu nautika dari lokasi dua adiknya, Saiful, 15, dan Jaidi, 5, yang turut lemas dalam kejadian itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata, mayat mangsa ditemui pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR)
"Mangsa ketiga ialah kakak kepada dua mangsa yang ditemui meninggal dunia semalam. Operasi ditamatkan pada jam 9.20 pagi selepas ketiga-tiga mangsa ditemui," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum itu, operasi membabitkan empat anggota bomba bersama 25 bot termasuk dari agensi penyelamat dan penduduk kampung.
Sabtu lalu, sebuah bot yang dinaiki sembilan individu karam ketika dalam perjalanan berpatah balik dari Batu 4 Kampung Rawa-Rawa ke Kampung Batu Payung.
Enam mangsa berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung manakala tiga beradik terbabit hilang akibat kejadian itu.
Pada Ahad, dua mangsa iaitu Saiful dan Jaidi ditemui di perairan Tinagat dan pesisir pantai antara 6.30 pagi hingga 9 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!