Lucut hak RM16 juta, keluarga Abdul Azeez fail representasi

ABDUL AZEEZ ABDUL RAHIM
ABDUL AZEEZ ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin dimaklumkan bahawa, ahli keluarga bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan syarikat mereka memfailkan representasi berhubung permohonan kerajaan untuk melucut hak hampir RM16 juta, pada November lalu.

Peguam, Datuk Prem Ramachandran berkata demikian ketika prosiding permohonan kerajaan untuk melucut hak harta isteri Abdul Azeez iaitu Datin Seri Khadijah Mohd Noor dan empat anak mereka termasuk Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd, yang didakwa hasil aktiviti pengubahan wang haram, di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Prem yang mewakili kesemua pihak itu selaku responden berkata, representasi berkenaan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), namun mesyuarat antara pihak-pihak terbabit belum ditetapkan.

“AGC akan membincangkan perkara itu dalam masa tiga minggu, maka kami mohon agar mahkamah dapat menimbangkan supaya pendengaran kes pada Isnin, ditangguhkan sehingga keputusan representasi diketahui,” katanya.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim yang mewakili kerajaan selaku pemohon dan peguam, Poh Choo Hoe bagi pihak ketiga iaitu Maybank Islamic, tidak membantah permohonan penangguhan tersebut.

Mahkamah kemudian menetapkan pengurusan kes berhubung perkembangan representasi itu, pada 8 Februari depan.

Pada 18 Disember tahun 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan keluarga berkenaan untuk menangguhkan prosiding saman kerajaan itu sementara perbicaraan kes rasuah Abdul Azeez yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen di sini selesai.

Abdul Azeez, 55, kini dibicarakan atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta, yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan:

Perbicaraan itu bagaimanapun, ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan berhubung pembatalan kesemua pertuduhan itu di Mahkamah Rayuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!