Sultan Johor lawat PPS Mawai
KOTA TINGGI - [DIKEMASKINI] Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mencemar duli melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Mawai di sini, pada Isnin.
Baginda tiba di pekarangan PPS SK Mawai di sini kira-kira jam 12.15 tengah hari dengan memandu sendiri.
Berangkat sama mengiringi baginda, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim dan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim
Dalam lawatan itu, Sultan Ibrahim meluangkan masa selama 30 minit meninjau keadaan semasa selain menyumbangkan makanan tengah hari kepada kesemua mangsa terjejas.
Seorang mangsa banjir, Fazilah Ahmad, 52 berkata, dirinya teruja apabila pertama kali diberi peluang berbual secara langsung bersama Sultan Ibrahim.
“Terkejut, memang gembira kerana ini pertama kali dapat berbual sebegini dengan Tuanku.
Sebelum ini ada melihat daripada jauh semasa Kembara Mahkota Johor tetapi tidak pernah macam ini.
“Baginda memang seorang yang prihatin, masa bertemu tadi baginda bertanya keadaan di sini, selesa atau sebagainya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, pada Isnin.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Roslinawati Amaizal, 54, berkata, dirinya terkejut apabila disapa baginda Sultan Ibrahim ketika sedang berehat di khemah medan yang disediakan petugas PPS.
“Saya tidak sangka yang melawat itu Tuanku, memang gembira bila dapat berbual.
Mula-mula dengar macam Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail) akan datang, tidak sangka Tuanku sendiri yang datang.
“Ini pengalaman baharu saya, tidak sangka bertemu Tuanku sebegini.
Walaupun tidak lama berbual, tetapi saya senang hati,” katanya.
PPS SK Mawai menempatkan kira-kira 105 mangsa melibatkan 36 keluarga dari Kampung Mawai di sini berikutan kediaman mereka yang terputus laluan masuk kerana dinaiki air banjir.
Kesemua mangsa dipindahkan kira-kira jam 2 petang pada Ahad selepas hujan lebat berlarutan selama lebih lapan jam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!