8,330 KRT digerakkan bantu mangsa banjir

Halimah ketika ditemui semasa melawat PPS SK Mawai di sini pada Isnin.
Halimah ketika ditemui semasa melawat PPS SK Mawai di sini pada Isnin.
A
A
A

KOTA TINGGI - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sedia menggerakkan kesemua 8,330 Komuniti Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara bagi membantu penduduk yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, KRT yang ditugaskan akan memberi fokus kepada kerja-kerja pembersihan dan penyediaan makanan kepada mangsa yang terjejas.

“Di seluruh Malaysia kita ada seramai 8,330 KRT yang sudah bersedia untuk digerakkan. Mereka ini akan ditugaskan untuk bersama-sama membantu kawasan terjejas berpandukan kawasan masing-masing.

"Contoh di Taman Nanding, lebih 150 ahli KRT bersama-sama turun untuk membantu, kita beri peluang kepada badan bukan kerajaan (NGO), pelajar universiti dan lain-lain yang mahu libatkan diri secara bersama untuk membantu membersihkan rumah mangsa.

"Untuk di Johor kita dah ada lebih kurang 800 KRT dan mereka ini telah bersiap sedia untuk digerakkan sebagaimana di Selangor dan kemudiannya di Pahang melibatkan KRT dari kawasan berdekatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Mawai di sini pada Isnin.

Halimah yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, sekiranya terdapat mana-mana KRT yang terkesan akibat banjir, pihaknya akan menghantar KRT dari negeri yang berhampiran sebagai tenaga sokongan.

“Kita di peringkat Parlimen dan pejabat daerah mempunyai hubungan dan komunikasi baik. Kita telah mengarahkan satu tindakan yang perlu dibuat untuk atasi masalah banjir sama ada isu penyelenggaraan sistem saliran atau perparitan.

Artikel Berkaitan:

“Setiap jabatan dah ada tindakan susulan untuk kita turun dan tengok. Kita ingin tahu keadaan semasa dan bagaimana persediaan serta kaedah mengatasi masalah ini,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!