Program Podium: 21 atlet olahraga digugurkan, 33 kekal

S M Muthu
S M Muthu
A
A
A

PENGURANGAN belanjawan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi tahun 2021 menyaksikan 21 atlet olahraga digugurkan daripada program Podium dan Pelapis Kebangsaan.

Perkara itu disahkan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk S M Muthu dan menyatakan hanya 22 atlet Program Podium dan 11 pelapis dikekalkan bagi menghadapi tiga temasya sukan utama, tahun ini.

"Selain itu, peruntukan untuk KOM juga telah dipotong 50 peratus yang menyebabkan kesukaran kepada badan olahraga kebangsaan itu untuk merancangkan penganjuran kejohanan dan menghantar atlet ke luar negara untuk pendedahan.

“Kita sedang berbincang dengan MSN mengenai pemotongan peruntukan dan jumlah atlet. Dengan pemotongan besar peruntukan, kami kini berhadapan kesukaran dalam mengaturkan kalendar 2022,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Bagaimanapun Muthu mengesahkan bahawa tiga atlet elit lelaki iaitu atlet lontar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin, Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi) dan Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) telah disenaraikan di bawah Program Sukan Asia dan Komanwell (AsiaCom).

“Bagi atlet di bawah Program AsiaCom, MSN akan menanggung kesemua perbelanjaan, termasuk latihan di luar negara dan menyertai kejohanan,” katanya.

Antara atlet yang digugurkan adalah, ratu pecut dan pemenang dua pingat perak Sukan SEA 2017 (100 meter (m) dan 200m) Zaidatul Husniah Zulkifli, pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 acara jalan kaki 10,000m Elena Goh Ling Yin, pelari pecut Nixson Kennedy dan Muhammad Aqil Yasmin, Abdul Rahman Lee (lontar cakera), Royson Vincent dan Savinder Kaus (pelari jarak sederhana).

MSN baru-baru ini mengumumkan hanya 288 atlet berkebolehan akan dikekalkan untuk program latihan sepenuh masa sebagai persediaan Sukan SEA Hanoi, Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou, berbanding 400 atlet berlatih di bawah MSN sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu mereka yang kekal dalam program Podium adalah Lee Hup Wei, Nauraj Singh, Yap Sean Yee, Ngu Jia Xin (kesemua atlet lompat tinggi), Muhammad Hakimi, Muhammad Irfan, Muhammad Haiqal Hanafi, Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa, Muhammad Zulfiqar Ismail, Russel Alexander Nasir Taib dan Azreen Nabila Alias ( kesemua atlet pecut).

Turut tersenarai, Rayzam Shah Wan Sofian (lari berpagar), Iskandar Alwi (lompat galah), Andre Anuar Anura (lompat jauh), Jackie Wong Siew Cheer, Grace Wong Xiu Mei (kedua-duanya atlet lontar tukul besi), Choo Kang Ni, Queenie Ting Kung Ni (kedua-duanya lempar cakera), Norliyana Kamaruddin (heptatlon), R. Kirthana (lompat jauh, kijang) dan Luqmanul Hakim Khairul Akmal (pelari).

Mereka yang kekal tersenarai di bawah Program Pelapis pula ialah Muhammad Azeem Mohd Fahmi, Muhammad Arsyad Md Saat, Siti Norzullaika Ramli, Fatin Ilyana Mat Nayan, M Darshini, Wan Muhammad Fazri Wan Zahari, Muhammad Naufal Shahrul Afzam, Sadat Marzuqi Ajisan, Nurul Hidayah Lukman, Kamal Farhan A Rahman dan Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!