Tidak pernah rasa dikongkong: Sissy Imann
PENYANYI Sissy Imann tidak kisah digelar anak manja dan banyak bergantung kepada kedua ibunya dalam apa sahaja perkara baik dalam kerjaya seni mahupun soal peribadi.
Ke mana sahaja kakinya melangkah atau apa pun aktiviti yang dilakukan, pasti sahaja terlihat kelibat bapa atau ibunya yang setia menemani dan membantu keperluannya.
Menolak anggapan sesetengah pihak yang mengatakan dia dikongkong kedua ibu bapanya, anak kedua daripada tiga beradik ini mengakui tidak pernah berada dalam situasi seperti itu, sebaliknya berasa sentiasa dilindungi.
“Mungkin ada yang tidak tahu, hubungan Sissy dan keluarga sangat rapat dan kami sering melakukan apa sahaja aktiviti bersama-sama. Bukan sahaja Sissy yang sentiasa ditemani, tetapi juga abang dan adik Sissy.
“Sissy tak kisahpun apa orang nak cakap, sebab lebih selesa macam tu dari dulu. Bukan sebab terlalu bergantung pada mereka, tetapi kerana Sissy menghargai waktu-waktu bersama mereka.
“Bila ada waktu tertentu ayahanda atau bonda tak dapat ikut Sissy, boleh saja Sissy uruskan diri sendiri. Cuma bila ada mereka, secara tidak langsung Sissy akan terus harapkan mereka dan suka buat bersama-sama,” ujarnya jujurnya.
Dalam pada itu, Sissy yang baru sahaja tampil dengan single Pesanan Ayahanda ini mengakui diri semakin matang dan jelas dengan hala tuju kerjaya seninya.
“Sissy tak nafikan, sebelum ini apa-apa yang dilakukan, Sissy sering mengharapkan campur tangan daripada ayahanda atau bonda untuk guide. Iyalah sebelum ini umur pun muda lagi, jadi rasa macam tak berapa yakin untuk buat sesuatu dengan keputusan sendiri.
“Apa pun masa masa berlalu dan pengalaman banyak mengajar kita untuk menjadi lebih matang. Sekarang Sissy dah tahu apa yang Sissy nak dan mula yakin buat apa-apa keputusan untuk diri sendiri.
“Jadi ayahanda dan bonda berikan kepercayaan dan peluang untuk Sissy tentukan sendiri apa yang Sissy mahukan.
“Sissy tak anggap ia sebagai kebebasan yang diberikan ayahanda kerana selama inipun ayahanda tidak pernah menyekat apa-apa yang Sissy inginkan, tetapi ia lebih kepada diri Sissy sendiri yang mula matang dan tahu menilai apa yang terbaik untuk diri sendiri,” katanya yang bakal tampil dengan program The House musim terbaharu yang bajal disiarkan di Astro Ria mulai 27 Mac ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!