Maut jatuh laut ketika tambat feri
KANGAR - Seorang kru feri Roll On-Roll Off (RoRo) maut selepas terjatuh ke dalam laut ketika menambat feri di Terminal Kargo Kuala Perlis, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Wari Kiew berkata, dalam kejadian kira-kira 11.40 pagi, Mohamad Rasidi Baharun, 47, dipercayai tergelincir dari feri yang baru tiba dari Pulau Langkawi, Kedah.
"Mohamad Rasidi yang pengsan selepas kepalanya terkena tiang besi, diselamatkan oleh seorang nelayan yang berada berdekatan tempat kejadian.
"Nelayan berkenaan membawa Mohamad Rasidi ke Jeti Awam Kuala Perlis sebelum dibawa Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar," katanya yang dihubungi pemberita. pada Isnin.
Wari berkata, Mohamad Rasidi disahkan meninggal dunia oleh pihak HTF pada 12.45 tengah hari dan kematiannya diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!