Menjejaki henjutan Azizuhasni
HAMPIR dua minggu Kejohanan Lumba Basikal Trek Kebangsaan 2021 melabuhkan tirainya di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan.
Namun, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dilihat masih tercari-cari siapa pengganti jaguh negara, Datuk Azizulhasni Awang sekalipun rakan sepelatihnya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom kini tampak berada di laluan yang betul.
Seperti mana kata pujangga, `Kota Rom bukannya dibina dalam masa 100 hari’. Tetapi hakikatnya PKBM belum mampu menarik nafas lega melihatkan situasi ketika ini tatkala Azizulhasni dijangka terus menjadi sandaran utama skuad lumba basikal trek negara dalam beberapa tahun akan datang.
Presiden PKBM, Datuk Abu Samad Abd Wahab sendiri mengakui agak sukar mencari pengganti Azizulhasni, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu berusia 33 tahun yang cukup terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman.
Malah, beliau turut mengingatkan peminat sukan tanah air betapa Azizulhasni menempuhi pelbagai detik kesukaran untuk bergelar juara dunia pada 2017 dan meraih dua pingat Sukan Olimpik termasuk insiden ditusuk kayu sepanjang 20 sentimeter pada Piala Dunia Trek 2011 di Manchester.
“Baru-baru ini saya terbaca sebuah artikel tentang (bekas pelari pecut Jamaica) Usain Bolt. Kata Bolt dia berlatih keras selama empat tahun untuk berlari dalam acara 100 meter bawah 10 saat. Begitu juga dengan Azizulhasni.
“Azizulhasni berlatih keras sejak tahun 2007 untuk memburu impian meraih pingat Sukan Olimpik dan muncul juara dunia. PKBM akui hakikat ini. Ketika ini, kita belum pasti siapakah calon sebenar untuk mewarisi kehebatan Azizulhasni.
“Namun, setidak-tidaknya semua pelumba yang berlatih di Melbourne, Australia menepati ramalan awal. Kita maklum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan Covid-19 menganggu banyak persiapan pelumba negara.
“Justeru, PKBM akui banyak kerja yang perlu dilakukan sekiranya kita mahu terus bergelar kuasa trek Asia setanding Jepun, China, Hong Kong dan Kazakhstan. Paling penting ialah untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis nanti,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.
Tanpa kelibat Azizulhasni, Shah Firdaus menepati ramalan apabila mendominasi acara keirin dan pecut individu pada Kejohanan Trek Kebangsaan 2021 yang berlangsung selama empat hari mulai 13 hingga 16 Disember lalu.
Velodrom Nasional Nilai turut mengesahkan beberapa pelumba yang harus diberikan perhatian termasuk Muhammad Fadhil Zonis, Muhammad Ridwan Sharom dan Anis Amira Rosidi, bagi membolehkan Malaysia setidak-tidak terus merangkul pingat pada Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun ini.
Muhammad Fadhil tampil di Velodrom Nasional Nilai ditemani abangnya, Muhammad Firdaus – bekas pelumba kebangsaan yang pernah dianggap pengganti Azizulhasni selepas dengan mudah menewaskan pelumba Jepun, China, Korea Selatan dan Hong Kong pada peringkat junior.
Penolong jurulatih Selangor, Muhammad Nur Rauf Misbah merayu PKBM dan Ketua Jurulatih skuad trek negara, John Beasley agar menyediakan perancangan teliti untuk Muhammad Fadhil yang dianggap memiliki segenap ramuan bagi menyamai pencapaian Azizulhasni.
“Untuk membandingkan Muhammad Fadhil dengan Azizulhasni umpama langit dan bumi. Namun, dia sentiasa menunjukkan prestasi konsisten dalam acara disertainya. Saya akui masa dicatat dalam acara 1 kilometer ujian masa individu tidak bagus.
“Akan tetapi, kita harus melihat setiap aspek termasuk kesukaran untuk berlatih sepanjang Covid-19. Kita harus berperanan secara positif untuk memupuk semangat dan semangat juang Muhammad Fadhil untuk mewarisi kehebatan Azizulhasni,” ujar bekas pelajar Universiti Selangor (Unisel) itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!