Mesir gesa Israel-Hamas bertenang
KAHERAH - Pegawai Mesir pada Ahad menggesa Israel dan pergerakan Hamas yang mentadbir Semenanjung Gaza supaya mematuhi gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak Mei lalu.
Usaha Mesir itu diumumkan sehari selepas Hamas melancarkan serangan roket ke Laut Mediterranean berhampiran tengah Israel.
Pelancaran roket itu mendorong tindak balas Tel Aviv apabila menyasarkan kedudukan Hamas di selatan Gaza.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam serangan tersebut.
Pegawai terbabit yang enggan mendedahkan identitinya meminta Hamas dan kumpulan lain di Gaza supaya menghentikan tindakan mereka yang disifatkan Israel sebagai provokatif.
“Kedua-dua pihak tidak mahu perang besar-besaran. Mereka hanya mahu jaminan,” kata pegawai terbabit.
Pada Ahad, tentera Israel menyatakan pihaknya melancarkan serangan ke atas tapak pengeluaran roket dan pangkalan tentera milik Hamas di Gaza sebagai tindak balas kepada serangan roket pada Sabtu.
Sementara itu, Perdana Menteri Naftali Bannet dalam ucapan pembukaan pada sidang mingguan kabinet berkata, mana-mana pihak yang melancarkan misil ke Israel akan menerima padah.
Israel mengekalkan sekatan ke atas kawasan yang miskin itu sejak 2007 iaitu pada tahun Hamas mengambil alih kuasa.
Tahun lalu, Hamas melancarkan serangan roket bertalu-talu ke arah Israel ketika konflik 11 hari tercetus akibat ketegangan di Baitulmaqdis.
Gencatan senjata yang longgar berkuat kuasa pada akhir Mei dan sejak itu hanya lima roket atau peluru mortar dilepaskan dari Gaza ke arah wilayah Israel. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!