Menyamar mangsa banjir untuk dapatkan bantuan

Mohd Wazir
Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Seorang wanita dikesan menipu dengan mendakwa dirinya mangsa banjir untuk mendapatkan bantuan yang disalurkan badan bukan kerajaan (NGO) di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Mentakab, Temerloh pada 29 Disember lalu.

Wanita berusia 33 tahun yang turut mendakwa sebagai ibu tunggal kepada anak tiga menagih simpati kononnya belum menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita tersebut datang ke PPS berkenaan menemui pegawai bertugas untuk memohon bantuan.

Menurutnya, pegawai berkenaan merujuk permohonan wanita itu kepada wakil sebuah NGO yang menyediakan bantuan kepada mangsa banjir.

"Wanita berkenaan kemudiannya diminta mengisi borang sebelum NGO berkenaan menyalurkan bantuan berupa keperluan makanan, peralatan elektrik dan keperluan rumah yang dianggarkan bernilai RM700.

"Wanita itu juga didakwa turut mendapat bantuan kewangan daripada sumbangan NGO luar," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Wazir berkata, identiti wanita itu terdedah selepas NGO berkenaan menerima rungutan daripada orang ramai mengatakan dia bukan mangsa banjir dan rumah yang ditunjukkan bukan miliknya.

"NGO membuat semakan lanjut dan mendapati perkara itu benar di mana wanita tersebut telah memperdaya mereka dengan memberikan maklumat palsu untuk mendapatkan bantuan banjir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, wakil NGO kemudian membuat laporan polis untuk tindakan pihak polis selain mahu menjaga nama persatuan.

"Susulan laporan tersebut, pihak polis telah ke lokasi dan semakan dengan ketua kampung mendapati wanita itu bukan mangsa banjir dan rumahnya juga tidak ditenggelami air.

"Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!