Bantuan BWI ibarat penawar duka: Mangsa banjir
JELI - Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 diibaratkan seperti penawar yang mengubati duka mangsa banjir di daerah ini yang mengalami kerugian susulan kerosakan harta benda.
Seorang penerima BWI, Cik Mat Ali Cik Awang, 72, dari Kampung Tunku Abdul Rahman berkata, bantuan yang diberikan ketika tempoh sukar ini turut membuktikan bahawa kerajaan amat prihatin dengan nasib rakyat.
Warga emas itu berkata, tahun ini sahaja sudah empat kali dia terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Balah di sini, selepas rumahnya dimasuki air mencecah hampir paras dada iaitu sekitar 0.6 meter.
“Empat tilam termasuk sebuah televisyen juga rosak disebabkan banjir.
“Sumbangan ini dapat saya gunakan untuk teruskan kehidupan termasuk bagi keperluan anak bongsu saya yang juga orang kurang upaya (OKU),” katanya ketika ditemui Bernama di PPS tersebut di sini pada Isnin.
Pasnah Hasam, 53, dari Kampung Baru pula berkata, dia tidak menyangka menerima BWI dalam tempoh yang sangat singkat apabila penghulu mukim mula mengagihkan bantuan itu sejak lima hari lepas iaitu sebaik sahaja pulang dari PPS.
“Bantuan ini akan digunakan untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga, membeli perkakas elektrik dan kelengkapan baharu bagi menggantikan yang telah rosak akibat banjir termasuk televisyen serta almari.
“Malah, bantuan ini juga dapat meringankan beban saya serta suami Che Husin Che Loh, 59, yang hanya bekerja sebagai penoreh getah dan tidak mempunyai pendapatan sejak November lepas kerana tidak dapat menoreh ketika musim tengkujuh,” katanya yang mempunyai seorang anak berusia 17 tahun.
Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan memaklumkan Kelantan adalah antara beberapa negeri yang mencapai 100 peratus pembayaran BWI kepada ketua isi rumah yang terkesan banjir. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!