Sulayem yakin Hamilton kembali beraksi
PRESIDEN Persekutuan Automobil Antarabangsa Mohammed Ben Sulayem yakin juara dunia tujuh kali, Lewis Hamiton akan kembali beraksi dalam kancah Formula Satu (Formula 1), musim depan.
Menurut Sulayem, ketika ini Hamilton sedang berehat setelah mengharungi jadual padat bagi perlumbaan di sepanjang musim 2021.
Malah Sulayem juga telah beberapa kali berbalas pesanan dengan Hamilton dan dapat merasakan pelumba Britain itu masih belum bersedia 100 peratus bagi mengumumkan perkara berkenaan.
“Sebenarnya, tidak patut untuk menyalahkan dia (Hamilton). Saya faham situasi yang sedang dihadapinya ketika ini.
“Oleh itu ‘kehilangan’ Hamilton setelah perlumbaan terakhir di Abu Dhabi termasuk tidak menghadiri majlis makan malam gala baru-baru ini juga menggambarkan situasinya ketika ini,” katanya.
Untuk rekod, Hamilton gagal dalam usaha melakar kejayaan selaku juara dunia buat kali kelapan apabila tewas kepada pelumba Red Bull, Max Verstappen perlumbaan terakhir di Abu Dhabi, 12 Disember lalu.
Sejak itu, tiada sebarang berita daripada pelumba Mercedes itu hingga menimbulkan persepsi dalam kalangan peminat sukan permotoran bahawa pelumba Mercedes itu mungkin akan mengumumkan persaraannya.
Mengulas lanjut Sulayem berkata, situasi yang dialami Hamilton ketika ini adalah perkara biasa dan sama sebagaimana yang ditempuhi oleh orang lain.
“Secara keseluruhannya, bagi saya, ia adalah perkara biasa yang akan ditempuhi oleh semua orang dan ia bersifat umum dan dalam masa sama saya sudah tentu tidak akan menilai seseorang melainkan saya menerima fakta-fakta yang tepat.
“Namun, saya yakin Hamilton akan kembali berlumba cuma perkara itu masih belum diumumkan secara rasmi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!