Indeks nilai seunit eksport, import catat pertumbuhan positif
INDEKS nilai seunit eksport dan import bulanan Malaysia bagi November 2021 mencatatkan pertumbuhan positif masing-masing pada 1.3 peratus dan 1.0 peratus, demikian menurut Jabatan Perangkaan.
Dalam laporan Indeks Perdagangan Luar November 2021 yang dikeluarkan pada Selasa, jabatan itu berkata, jumlah perdagangan Malaysia merekodkan prestasi yang menaik iaitu meningkat 1.5 peratus pada November 2021 berbanding bulan sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai eksport susut 1.9 peratus kepada RM112.2 bilion pada bulan sama, disumbangkan oleh penurunan eksport barang-barang keluaran kilang (-12.3 peratus), bahan mentah tidak boleh dimakan (- 4.7 peratus) serta alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (- 4.3 peratus).
“Nilai import meningkat 5.9 peratus bulan ke bulan pada November 2021 dengan nilai sebanyak RM93.3 bilion,” katanya.
Mohd Uzir berkata, peningkatan itu disumbangkan oleh kenaikan import barang-barang keluaran kilang (+12.8 peratus), bahan kimia (+12.6 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+ 4.8 peratus).
Menurutnya, nilai perdagangan susut sebanyak 28.1 peratus bulan ke bulan dengan nilai RM18.9 bilion.
“Indeks nilai seunit eksport meningkat 1.3 peratus pada November 2021 berbanding bulan sebelumnya yang disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+5.4 peratus), minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (+1.1 peratus) selain alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.4 peratus),” katanya.
Pada bulan sama, Mohd Uzir berkata, indeks volum eksport turun 3.2 peratus susulan kejatuhan indeks barang-barang keluaran kilang (-12.1 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-4.7 peratus) dan minyak galian (-3.5 peratus).
“Indeks volum eksport pelarasan bermusim pula meningkat 6.3 peratus daripada 152.6 mata kepada 162.2 mata.
“Dari segi perbandingan tahunan, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing meningkat 16.8 peratus dan 13.5 peratus,” katanya.
Beliau berkata, indeks nilai seunit import turut meningkat 1.0 peratus pada November 2021 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (+10.3 peratus), minyak galian (+4.5 peratus) dan alat jentera serta kelengkapan pengangkutan (+0.4 peratus).
Mohd Uzir berkata, indeks volum import turut meningkat 4.8 peratus pada November 2021 berbanding bulan sebelumnya disumbangkan oleh kenaikan indeks barang-barang keluaran kilang (+12.6 peratus), bahan kimia (+12.4 peratus) dan alat jentera serta kelengkapan pengangkutan (+4.4 peratus).
Menurutnya, indeks volum import pelarasan bermusim pada November 2021 pula meningkat sebanyak 5.8 peratus kepada 168.7 mata daripada 159.5 mata.
“Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing meningkat 8.7 peratus dan 27.1 peratus,” katanya.
Selain itu, Jabatan Perangkaan berkata, terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 107.0 mata pada November 2021.
Prestasi terma perdagangan Malaysia kekal positif pada 7.5 peratus daripada 99.6 mata yang dicatatkan pada November tahun sebelumnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!